Ad

Monday, 30 July 2018

FAM beri Azam, Davies hingga esok [METROTV]

MyMetroArena
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) memberi tempoh sehingga esok kepada dua pemain Pahang, Nor Azam Abdul Azih dan Matthew Davies untuk melaporkan diri bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) negara.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan, pihaknya akan menganggap dua pemain itu tidak berminat bersama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ke Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan depan sekiranya gagal melaporkan diri sebelum pasukan memulakan latihan 5 petang esok.

Beliau bagaimanapun akan menghubungi Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) untuk mendapatkan penjelasan mengenai status Azam dan Matthew kerana dua lagi pemain Tok Gajah, Faisal Abdul Halim dan R Kogileswaran sudah melaporkan diri pada hari pertama kem latihan pusat di Wisma FAM, hari ini.

“Hari ini kita dapat lihat 25 daripada 28 pemain yang dipanggil jurulatih sudah melaporkan diri dan seorang lagi (Hadi Fayyadh Abdul Razak) sudah mengesahkan akan lapor diri esok. Maknanya hanya dua pemain lagi tidak hadir.

“Kalau ada surat atau sudah dimaklumkan secara rasmi kita boleh katakan mereka tak akan datang (ke kem latihan pusat), tapi setakat ini tiada surat rasmi dan kita anggap mereka gagal melaporkan diri pada hari pertama latihan.

“Kita menyusun pemain ini untuk aksi persahabatan di China (5 Ogos ini), jadi kita kena siapkan proses dokumentasi untuk ke sana selewat-lewatnya pada Khamis atau Jumaat ini,” katanya kepada pemberita ketika sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Biarpun ketiadaan Azam dan Davies, kehadiran hampir keseluruhan pemain yang dipanggil jelas melegakan Kim Swee selepas timbul spekulasi sebelum ini yang mengatakan beberapa pasukan enggan melepaskan pemain mereka kerana Sukan Asia bertembung dengan aksi Piala Malaysia.

Sementara itu, Kim Swee enggan memikirkan mengenai ketiadaan Azam dan Davies, sebaliknya lebih fokus dalam mempersiapkan pasukannya dengan pemain yang sedia ada.

“Terpulang kepada pihak pengurusan untuk menyelesaikan perkara itu dan yang penting saya harus fokus terhadap pemain sedia ada daripada memikirkan yang tidak hadir.

“Saya ada Daniel Amier Norhisham, Baddrol Bakhtiar dan Nik Akif Syahiran Nik Mat, saya akan lihat sama ada mereka boleh berada dalam skuad utama atau tidak. Kita hanya ada dua atau tiga hari latihan dan jika tak hadir esok, bermakna mereka tidak berminat,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 10:17 PM

No comments:

Post a Comment