Ad

Friday, 27 July 2018

'Kita cuba dulu Sumareh...'

MyMetroArena
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
 
BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail menggesa jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memberi peluang kepada pemain kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh membuktikan kemampuannya bersama Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Beliau berkata, tidak salah untuk Cheng Hoe memanggil Sumareh bagi tugasan skuad kebangsaan selepas ini memandangkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah memberi bayangan untuk membuka pintu kepada pemain naturalisasi.


Malah, katanya, adalah satu pembaziran sekiranya khidmat pemain berusia 23 tahun itu tidak digunakan selepas mendapat taraf kerakyatan, April lalu.

"Sumareh pemain bagus, khusus di bahagian sayap di mana dia pemain yang pantas, memiliki kemahiran menggelecek dan boleh memberi masalah kepada pertahanan lawan, kita memang memerlukan pemain seperti ini.

"Memandangkan dia juga sudah mendapat kerakyatan negara ini, tak salah untuk kita mencuba. Sebab kita tidak tahu kemampuannya beraksi di peringkat antarabangsa, kerana tahap permainan antarabangsa berbeza di peringkat kelab," kata Jamal.

Sumareh, 23, mengakui sudah mendapat taraf kerakyatan Malaysia pada April lalu dan menyatakan kesudian untuk mewakili Harimau Malaya selepas hampir enam tahun beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M).

Pemain Pahang itu yang sudah menetap di negara ini sejak berusia 13 tahun jelas gembira apabila FAM bersedia mempertimbangkan untuk menyerap pemain naturalisasi bagi memperkuatkan skuad kebangsaan yang kini menduduki tangga ke-171 dunia.

Bagaimanapun, Jamal berkata, FAM tidak boleh hanya bergantung kepada pemain naturalisasi sehingga mengabaikan aspek pembangunan.

"Selama mana kita nak bergantung kepada pemain naturalisasi? Mungkin untuk jangka masa pendek, kita boleh ambil bagi posisi kritikal seperti penyerang. Kita boleh lihat penyerang tempatan kita tenggelam dengan 99 peratus pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) guna penyerang luar.

"Pembangunan kita tak selari lagi, kita ada NFDP (Program Pembangunan Bolasepak Negara), kita ada pasukan bawah 19 tahun, bawah 23 tahun, skuad senior tapi dengan cara permainan berbeza. Kita memang mahukan pemain muda ini mewakili negara tapi setakat ini, pembangunan kita belum benar-benar berkesan," jelasnya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 6:21 PM

No comments:

Post a Comment