Mohd Fitrie Muhamad dan Syafiq Aznan
sukanteam@nstp.com.my
FINAL Piala FA sukar dipisahkan dengan pemain senior Selangor, Amri Yahyah apabila pemain veteran itu bakal melakukan penampilan kelima di pentas berprestij itu, malam esok.
Dia beraksi dalam tiga perlawanan akhir Piala FA bersama The Red Giants pada 2001, 2005 dan 2009 serta membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkul trofi itu pada 2016 dengan pentas akhir bertemu Pahang esok bakal menjadi final pertamanya selepas kembali menyertai Selangor tahun lalu.
Sama ada boleh dianggap tuah atau tidak, Amri yang lebih mesra disapa Wak Am memenangi semua perlawanan akhir Piala FA yang disertainya sekali gus berpeluang untuk menjulang trofi berprestij itu buat kali kelima di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Di sebalik pencapaian menakjubkan itu, penyerang berusia 37 tahun berkenaan mengakui dia bukanlah ‘bintang’ yang perlu diberi fokus oleh barisan pertahanan skuad Tok Gajah pada aksi penentuan terbabit.
“Saya bukanlah tumpuan yang perlu diberi perhatian kerana pada saya, tumpuan terarah kepada kelibat pemain muda.
“Dalam pasukan Selangor, semua pemain boleh bermain dan menyerang. Saya cuma memberi sokongan dan mereka inilah yang seharusnya diberikan tumpuan,” katanya pada sidang media praperlawanan final Piala FA di SNBJ, hari ini.
Dalam masa sama, bekas penyerang JDT itu juga enggan terlalu mengejar pencapaian peribadi sehingga mengetepikan perkara utama yang perlu dilakukannya.
“Secara spesifiknya, saya tidak mempunyai sasaran peribadi kerana apa yang penting adalah kemenangan pasukan.
“Berdasarkan kenangan manis apabila pernah merangkul trofi di stadium ini, sudah tentu ia akan menjadi motivasi bukan sahaja kepada saya malah buat pemain lain dalam pasukan juga,” katanya.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 8:02 PM
No comments:
Post a Comment