Ad

Thursday, 12 July 2018

FELDA tak terjejas tanpa Wan Zack

Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my
 
PEMAIN sayap FELDA United, Wan Zack Haikal Wan Nor yakin pasukan itu tidak akan pincang sekalipun tanpa kelibatnya apabila berdepan UKM FC di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam esok.

Wan Zack yang tidak dapat diturunkan kerana menjalani penggantungan satu perlawanan selepas menerima kad merah ketika seri 2-2 dengan Johor Darul Ta’zim II (JDT II), 27 Jun lalu berkata, FELDA memiliki ramai pemain yang mampu menampung kekosongan itu.

“Memang agak mengecewakan apabila sekadar menjadi penonton malam esok. Tapi, saya yakin ia bukan masalah besar kepada FELDA kerana ramai pemain boleh mengisi tempat saya,” kata Wan Zack.

“Kelebihan FELDA musim ini adalah kami mempunyai kelompok pemain yang memiliki kemampuan seimbang sama ada kesebelasan utama mahupun simpanan.

“Jadi, bila ada masalah kecederaan atau penggantungan, ia tidak menjejaskan pasukan. Siapa pun yang diturunkan, ia mampu meneruskan rentak dan prestasi pasukan.”

Menurut Wan Zack, apa yang penting adalah The Fighters terus fokus bagi memastikan kejuaraan Liga Perdana yang semakin hampir dalam genggaman tidak terlepas pada saat-saat akhir.

Skuad bimbingan B Sathianathan itu kini selesa menerajui carta liga dengan 37 mata, berkelebihan sembilan mata ke atas pencabar terdekat, FELCRA FC namun Wan Zack menganggap itu belum selamat memandangkan pertandingan masih berbaki empat perlawanan.

“Kami tidak perlu memikirkan berapa mata lagi diperlukan untuk muncul juara. Apa yang penting adalah terus fokus untuk menang setiap perlawanan seperti kami lakukan sebelum ini. Ia tidak terkecuali perlawanan malam esok yang mana tiga mata menjadi sasaran FELDA.

Namun, ia bukan perlawanan mudah kerana UKM juga sedang menunjukkan peningkatan walaupun kini berada pada kelompok bawahan liga,” kata pemain kebangsaan itu.

SUBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 2:34 PM

No comments:

Post a Comment