MyMetroArena
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Cadangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membuka pintu kepada pemain naturalisasi beraksi bersama skuad kebangsaan masih lagi di peringkat awal.
Namun, nama pemain yang harus berada dalam senarai pengurusan skuad Harimau Malaya ketika ini sudah pastinya pemain kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh.
Pemain berusia 23 tahun itu sudah mendapat taraf kerakyatan Malaysia April lalu dan memiliki rekod cemerlang dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) sejak membuat penampilan pertama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2013.
Sumareh yang kini mewakili Pahang dan membantu skuad Tok Gajah merangkul Piala FA pada 7 Julai lalu mengakui bersedia untuk dipanggil pengendali Tan Cheng Hoe khususnya bagi kempen Piala AFF November nanti.
“Jika saya mendapat tawaran mewakili skuad kebangsaan, ia satu penghormatan dan akan cuba membantu sedaya upaya saya,” kata penyerang itu.
Sumareh berkata, dia sudah menetap di Malaysia sejak berusia 13 tahun dan memulakan karier bola sepak profesional empat tahun kemudian.
Justeru, dia menganggap Malaysia sebagai ‘rumah pertamanya’.
“Saya membesar di sini, karier bola sepak saya juga bermula di sini, mungkin ada pemain luar yang dipanggil beraksi dengan skuad kebangsaan hanya sekejap berada di sini tapi saya sudah lama.
“Jadi jika ada orang cakap pemain naturalisasi tidak ada semangat pada saya ia tidak tepat. Jika saya mensia-siakan peluang ini, saya bukan saja mengkhianati Malaysia, tapi mengkhianati diri saya sendiri.
“Saya memberikan komitmen 100 peratus bila bersama kelab, kenapa saya tak boleh beri 120 peratus komitmen bersama pasukan kebangsaan.
Dan saya tahu tekanan sebagai pemain naturalisasi pasti berat tapi saya adalah pemain yang sentiasa mahukan cabaran. Tekanan akan membuatkan saya lebih baik,” katanya.
Sebelum ini, hanya pemain berdarah campuran yang sudah mewakili skuad kebangsaan antaranya Matthew Davies (Pahang), Natxo Insa (JDT), Brendan Gan (Perak) dan juga Khair Jones (Melaka United).
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 6:23 PM
No comments:
Post a Comment