BADDROL BAKHTIAR antara pemain
senior yang dipanggil untuk mengisi kuota tiga pemain lebih usia dalam skuad ke
Sukan Asia.
29 Julai 2018 3:00 AM
MELAKA 28 Julai – Walaupun peluang
nampak sukar namun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap meletakkan sasaran
layak ke pusingan kedua dalam Sukan Asia bulan depan kepada skuad negara.
Skuad bawah 23 tahun negara akan
bersaing dengan Kyrgyzstan, Bahrain dan dua pasukan pilihan iaitu juara
bertahan Korea Selatan serta Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam peringkat
Kumpulan E di Indonesia bermula 10 Ogos nanti.
Skuad dibimbing Datuk Ong Kim
Swee pada awalnya dilihat memiliki peluang agak seimbang dengan Kyrgyzstan dan
Bahrain tetapi keadaan menjadi sukar dengan kemasukan UAE menerusi undian
tambahan yang dibuat beberapa hari lalu.
Namun Presiden FAM, Datuk Hamidin
Mohd. Amin berkata, sasaran mara ke pusingan kedua dilihat masih realistik
berdasarkan kedudukan semasa pasukan di bawah bimbingan Kim Swee.
Mengakui kemasukan UAE ke dalam
kumpulan berkenaan menerusi undian tambahan pada 25 Julai lalu turut memberi
laluan sukar kepada skuad remaja kebangsaan namun katanya FAM perlu meletakkan
suatu taraf pencapaian yang sesuai untuk diburu oleh skuad negara.
“Kami telah bincang mengenai
sasaran ini secara bersama namun FAM perlu meletakkan Petunjuk Prestasi Utama
(KPI) yang tinggi untuk berada dalam 16 pasukan terbaik dan semua pihak akan
mengusahakannya bagi merealisasikan sasaran itu.
“Berhubung mengenai pelepasan
pemain daripada pasukan mereka, kita akan menunggu hingga Isnin ini untuk
pengesahan sama ada kesemua pemain yang disenaraikan akan menyertai kem latihan
pusat skuad B-23 kebangsaan.
“Mereka seterusnya akan ke China
untuk persediaan menghadapi kejohanan berkenaan sebelum ke Bandung lebih awal
pada 8 Ogos nanti manakala jadual perlawanan persahabatan bersama Arab Saudi
B-23 di Kuala Lumpur pada 9 Ogos dibatalkan,” katanya selepas Mesyuarat
Jawatankuasa Eksekutif (Exco) kali ke-5 bagi sesi 2017-2021 di sini, hari ini.
Kim Swee, sebelum ini mengekalkan
17 daripada 24 pemain yang beraksi dalam Kejohanan AFC B-23 2018 untuk
menyertai kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan bermula 30 Julai ini.
Empat muka baharu yang tersenarai
pula adalah Syafiq Ahmad (JDT), Faisal Abdul Halim (Pahang), Rodney Celvin
Akwensivie (PKNS FC) dan penjaga gol Khatul Anuar Md. Jalil (Kuala Lumpur).
Selain itu Baddrol Bakhtiar
(Kedah), Rizal Ghazali (Kedah) dan Aidil Zafuan Abd. Radzak (JDT) mengisi slot
kuota tiga pemain lebih usia.
Namun beliau membuat keputusan
memanggil empat pemain baharu iaitu Adib Zainudin (Johor Darul Ta'zim II),
Akhyar Rashid (Kedah), R. Kogileswaran (Pahang) dan Syahmi Safari (Selangor)
yang sebelum ini berada dalam senarai bersedia.
Malaysia dijadualkan bertemu
Kyrgyzstan pada 10 Ogos dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan dan
kemudian menentang UAE (12 Ogos), Korea Selatan (17 Ogos) dan Bahrain (20
Ogos).
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/fam-tidak-beranjak-daripada-sasar-pusingan-kedua-1.718304#ixzz5MbXsBkcf
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment