SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM), Hamidin Mohd. Amin.
13 Julai 2018 3:58 PM
KUALA LUMPUR 13 Julai- Pihak tuan
rumah Indonesia berjanji untuk memperketatkan kawalan keselamatan ke atas
pemain skuad bawah 19 tahun negara (B-19) berikutan insiden mereka diserang
penyokong tempatan selepas perlawanan separuh akhir Kejuaraan AFF 2018 di
Stadium Gelora Delta Sidoarjo, semalam.
Setiausaha Agung Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan jaminan tersebut, yang
tidak mahu keganasan seumpama itu berulang kembali apabila anak buah Bojan
Hodak turun beraksi di final menentang Myanmar esok.
“Saya telah menghubungi Naib
Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan selaku pengurus pasukan B-19 kebangsaan dan
juga pegawai-pegawai pasukan kita di Surabaya, Indonesia bagi mendapatkan
maklumat berhubung insiden yang berlaku.
“Berdasarkan maklumat diterima,
terdapat penyokong Indonesia membaling botol dan batu dari tempat duduk
penonton ke arah pemain B-19 kebangsaan selepas perlawanan iaitu ketika mereka
hendak masuk ke terowong menuju ke bilik persalinan.
“Kekecohan yang berlaku telah
menyebabkan pasukan B-19 kebangsaan keluar lewat hampir sejam untuk pulang ke
hotel penginapan. Bagaimanapun, kekecohan itu berjaya dikawal pihak berkuasa
dan tiada sebarang kecederaan dialami pemain dan pegawai pasukan B-19
kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Insiden itu tercetus apabila
penyokong Indonesia tidak berpuas hati apabila skuad Garuda Muda tewas kepada
Malaysia menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas aksi sebenar terikat
1-1.
Jelas Hamidin, berkata pihak tuan
rumah memohon maaf atas insiden yang berlaku namun pihak FAM masih menunggu
laporan perlawanan sebelum tindakan susulan dibuat.
“Susulan insiden itu, saya telah
menghubungi Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Joko
Driyono dan beliau berjanji akan meningkatkan tahap kawalan keselamatan pasukan
B-19 kebangsaan ketika menjalani latihan pada hari ini dan juga ketika di hotel
penginapan.
“Joko Driyono sebagai mewakili
PSSI turut meminta maaf di atas insiden yang tidak diingini itu.
FAM akan menunggu laporan
daripada Match Commissioner (MC) dan pengadil sebelum mengambil apa-apa
tindakan selanjutnya berhubung insiden ini. - UTUSAN ONLINE
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/indonesia-beri-jaminan-keselamatan-kepada-pemain-b-19-negara-1.708335#ixzz5LBF4nIjG
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment