MyMetroNuansa
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my
Rumah kayu Melayu berpasak yang masih tegap menunjukkan kerja pertukangan tinggi orang terdahulu sehingga ia mampu bertahan lebih seabad lamanya.
Malah setiap kali meneliti struktur pada rumah tradisi berkenaan, semakin terserlah nilai estetika bangunan itu membuktikan kehalusan dan ketinggian ilmu pembinaan yang kini jarang sekali dapat diamati generasi hari ini.
Justeru, tidak hairanlah sesetengah rumah Melayu diangkat sebagai khazanah warisan yang harus dikekalkan menerusi beberapa inisiatif baik pihak akademik, kerajaan negeri mahupun orang perseorangan sebagai ‘permata’ pelancongan.
Rumah Warisan Haji Su di Kampung Losong Haji Su Terengganu umpamanya dibeli pihak muzium dengan nilai RM3.2 juta. Ia menjadi tumpuan pelancong menerusi konsep rekaan Limas Belanda dan Bujang Berpeleh Kembar Tiga berpasak tanpa paku.
Lebih menarik, terdapat juga pakej penginapan disediakan untuk memberi pengalaman bermalam dalam rumah tradisional.
Beralih ke Laman Gentam di Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang turut mempunyai tarikan sentimental menerusi kediaman pusaka milik Datuk Zaki Said.
Rekaannya berasaskan kayu cengal selain jalinan kayu pada anjung dilengkapi kemasan cucur atap bercorak bulan separuh pada keliling bumbung.
Peluang menjengah kediaman milik pasangan Daim Hayati Mohammad, 87, dan isterinya, Jamaliah Shafie, 69, antara pengalaman menarik sukar penulis lupakan.
Ia antara sebahagian jadual yang perlu dipenuhi Program Road to Agro Tourism Siri ke 5 Edisi Khas Bagan Datuk Perak, baru-baru ini. Ia sekali gus mengubat rasa rindu pada kampung halaman.
Rumah terbabit bercirikan tradisi Melayu Perak dibina Datuk Daim, Allahyarham Mat Ali Kulop Rabu. Terletak di laluan utama jalan raya Teluk Intan-Bagan Datuk pastinya menggamit perhatian bukan saja dalam kalangan pencinta seni bina warisan malah pelancong untuk merakam gambar.
Kata Daim, rumah pusaka itu pernah dijadikan tapak pelancaran Program 30 Homestay atau Inap Desa Parlimen Bagan Datuk pada 26 Januari 2006.
“Saya ialah generasi keempat selepas datuk, bapa, Mohammad Mat Ali dan abang sulung, Allahyarham Mohd Yaakub Aliah yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup selama 10 tahun.
“Keistimewaan rumah pusaka ini apabila ia bercirikan rumah Melayu Perak menerusi identiti Bumbung Lima. Kemasan berupa ukiran di sekeliling tingkap, pintu dan dinding selain kedudukan tangga di sisi kiri anjung membuatkan ia tampak unik,” katanya.
Selain itu, ia pernah dikunjungi orang penting seperti mantan Menteri Besar Perak, Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Kumpulan pelancong diterima Daim juga terdiri daripada pelbagai negara antaranya Australia, Arab Saudi, India, Jepun, China, Indonesia dan Singapura.
Reputasi sebagai rumah pusaka, semestinya ia tidak sepi dengan kehadiran barangan tinggalan pemilik asal seperti katil besi berhias selain bantal tekat benang emas berusia 100 tahun.
“Saya turut memiliki koleksi senjata warisan Melayu seperti keris, lembing, pedang, golok, parang panjang dan tombak yang menjadi hiasan dinding rumah pusaka ini, selain menyimpan gong berusia 100 tahun serta radio keluaran 1960-an,” katanya.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 2:48 PM
No comments:
Post a Comment