Dollah enggan tanggung risiko
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
KUANTAN: Biarpun masih berpeluang menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua musim ini, pengendali Pahang, Dollah Salleh tidak mahu menanggung risiko menyenaraikan kesebelasan utama apabila bertemu Kelantan, Ahad ini.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, beliau rela mengorbankan misi berkenaan bagi memastikan pemain utama pulih daripada kecederaan bagi menghadapi kempen Piala Malaysia yang berlangsung bulan hadapan.
“Saya bimbang apabila menurunkan kesebelasan utama bertemu Kelantan Ahad ini, saya perlu menanggung risiko tinggi jika ada pemain mengalami kecederaan dan perlu berehat panjang.
“Atas sebab itu, saya tidak kecewa jika Pahang gagal menamatkan saingan. “Oleh itu, saya akan pastikan pemain yang cedera tidak akan disenaraikan menentang Kelantan dan mengharapkan pemain mengisi kekosongan itu dapat memberikan yang terbaik buat pasukan,” katanya.
Ketika ini, pemain yang mengalami kecederaan adalah kapten pasukan, Matthew Davies, Patrick Cruz dan Afif Amiruddin.
Ketiga-ketiganya tidak disenaraikan ketika Pahang menewaskan PKNS FC 1-0 Sabtu lalu, bagi memastikan kecederaan mereka sembuh dan kembali memperkasakan skuad Tok Gajah pada saingan Piala Malaysia.
Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menyenaraikan barisan pemain muda bertemu Kelantan dengan mengharapkan keputusan positif diraih.
“Setakat ini, mereka yang mempamerkan kesungguhan dan semangat tinggi dalam latihan akan disenaraikan untuk membuktikan mereka juga layak berada dalam kesebelasan utama,” katanya.
Dalam beberapa perlawanan sebelum ini, Dollah turut memberi pendedahan kepada pemain muda seperti Shahrul Nizam Nadzir dan Muhammad Zuhair Aizat untuk memperkasakan jentera tengah pasukan itu.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 1:11 PM
No comments:
Post a Comment