SUKAN»Bola
Selasa, 31 Disember 2019 | 3:56pm
BEKAS penyerang Kelantan, Fauzi Rozlan atau Kojie. - Foto Syamsi Suhaimi
Kojie tuntut KAFA langsai segera RM60,000
Oleh Nor Amalina Alias
bhnews@bh.com.my
KOTA BHARU: Bekas penyerang Kelantan, Fauzi Rozlan atau Kojie yang tamat kontrak bersama pasukan itu, September lalu mahu Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) melunaskan tunggakan gaji RM60,000 yang belum dibayar.
Fauzi melahirkan kekecewaan terhadap KAFA yang gagal melunaskan tunggakan gajinya dan mendakwa sepanjang bersama Kelantan dia hanya menerima beberapa bulan gaji daripada Januari hingga Julai lalu dengan jumlah tunggakan masih berbaki lebih RM60,000.
“Saya tidak berniat mahu mengaibkan KAFA atau manamana pihak, sebaliknya saya hanya mahu minta hak saya.
“Apatah lagi, saya perlu menanggung keluarga termasuk dua anak berusia sembilan dan enam tahun yang bersekolah.
“Saya kini bekerja sambilan di kampung di Pahang bagi menampung perbelanjaan harian keluarga dan komitmen lain sementara menunggu panggilan dari mana-mana pasukan lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Fauzi berkata, dia sudah puas merayu kepada pihak pengurusan termasuk menghantar surat tuntutan bayaran tunggakan gaji yang diemelkan kepada pihak KAFA pada 21 November lalu namun tidak mendapat maklum balas.
Katanya, pihak KAFA juga sekadar ‘berjanji mulut’ apabila memberitahu akan melunaskan tunggakan gaji apabila mendapat penaja baharu tanpa berusaha membantu pemain.
“Difahamkan, masalah tunggakan gaji itu membabitkan pemain yang tidak disambung kontrak. “Bagi pemain yang kekal bersama Kelantan, saya tidak pasti sama ada mereka sudah dibayar gaji penuh atau tidak,” katanya.
Pemain yang digelar ‘The Supersub’ itu memberi tempoh terdekat untuk KAFA melunaskan hutangnya dan berhubung dengannya secepat mungkin.
“Saya juga akan melanjutkan permasalahan itu kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi menuntut hak pemain,” katanya.[1]