MyMetroArena
Mohd Amin
Jalil
sukanteam@nstp.com.my
SEREMBAN:“Gaji
saya sudah lama tertunggak. Malah KAFA (Persatuan Bolasepak Kelantan) banyak
kali berjanji untuk menyelesaikan tunggakan itu tapi hingga sekarang tiada
perkembangan,” kata bekas pemain kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah.
Pemain skuad
Negeri Sembilan berusia 38 tahun itu berkata, dia pernah membawa kes itu kepada
jawatankuasa status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Persatuan Pemain
Bolasepak Profesional Malaysia (FDAM) pada 24 Mei lalu.
“Dalam
keputusan yang dibuat jawatankuasa FAM, pihak terbabit mengarahkan KAFA membuat
pembayaran tunggakan gaji saya yang berjumlah RM82,261.67 dalam tempoh 30 hari.
Bagaimanapun, selepas tempoh itu tamat, KAFA belum membuat pembayaran dan saya
sudah beberapa kali berhubung dengan persatuan itu bagi mencari jalan
penyelesaian, namun gagal mencapai kata sepakat,” katanya.
Norhafiz yang
pernah membantu skuad Hobin Jang Hobin menjulang trofi Piala Malaysia 2011,
beraksi bersama The Red Warriors selama tiga musim bermula 2015.
Mengulas
lanjut, pertahanan berpengalaman itu yang pernah bersama Pulau Pinang pada
musim 2018, berkata, pada 27 November lalu, KAFA ada mendepositkan wang
sebanyak RM15,000 ke dalam akaunnya.
“KAFA
memasukkan wang itu tanpa pengetahuan dan persetujuan saya dan saya pun tidak
faham kenapa hanya RM15,000 sedangkan tunggakan gaji yang belum dibayar
berjumlah lebih RM80,000.
“Ingin saya
tegaskan bahawa saya tidak pernah bersetuju untuk sebarang pengurangan mahupun
bayaran secara ansuran,” kata pemain kelahiran Melaka itu.
Menurut
Norhafiz, pihaknya khuatir sekiranya KAFA menunjukkan transaksi itu sebagai
‘bukti’ pembayaran kepadanya bagi membolehkan mereka mendapat kebenaran FAM atau
mendapatkan kelonggaran untuk bersaing di Liga Perdana musim depan.
Sehubungan
itu, sehari selepas itu (28 November), dia memulangkan semula wang RM15,000 itu
ke dalam akaun KAFA.
Katanya,
hingga kini, KAFA masih belum menunjukkan sebarang usaha meyakinkan untuk
membuat bayaran tunggakan gajinya.
“Saya tidak
berniat untuk menjejaskan mana-mana pihak dan terpaksa luahkan kepada media
sebagai jalan terakhir. Namun, saya berharap FAM dan Liga Bolasepak Malaysia
(MFL) dapat bertindak serius dalam perkara ini kerana saya melihat KAFA tanpa
segan silu mengambil pemain baharu,” katanya.
SUMBER-Artikel
ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 6:00 AM
No comments:
Post a Comment