Ad

Saturday, 28 December 2019

KAFA masih membisu tuntutan gaji 'Apek'

MyMetroArena
 
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my
PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) masih belum menjawab surat tuntutan pembayaran gaji 2015 dan 2016 mencecah RM143,000 dikemukakan bekas penjaga golnya, Khairul Fahmi Che Mat.

Peguam Zhafri Aminurashid berkata, surat berkenaan dihantar melalui faksimili pada 23 Mei lalu dan tempoh tujuh hari diberikan bagi menjawab penyata tuntutan itu berakhir semalam.

“Sekiranya masih tidak ada balasan atau penyelesaian, kita akan membawa perkara ini kepada Jawatankuasa Status FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) selepas hari raya.

“Disebabkan ia membabitkan kontrak 2015 dan 2016 kita perlu dapatkan semua dokumen berkaitan terlebih dulu.

Jika masih tidak dibayar juga kita akan rujuk ke Jawatankuasa Tatatertib FAM,” katanya dihubungi semalam.

Harian Metro kelmarin melaporkan, belum pun reda isu desakan peletakan jawatan Presiden, Bibi Ramjani Ilias Khan, kini badan induk bola sepak negeri itu diuji pula tuntutan gaji oleh empat bekas pemain bernilai lebih RM300,000.

Mereka ialah Mohd Daudsu Jamaluddin, Zairul Fitree Ishak, Norhafiz Zamani Misbah serta terbaru penjaga gol Melaka, Khairul Fahmi Che Mat.

Khairul Fahmi menerusi peguamnya menghantar surat kepada KAFA tiga hari lalu bagi menuntut bayaran tunggakan gaji 2015 dan 2016 mencecah RM143,000 manakala tiga pemain lain menuntut tunggakan gaji dengan anggaran RM200,000.

Zhafri berkata, anak guamnya itu nekad menghantar surat penyataan tuntutan kepada KAFA kerana tunggakan itu sudah terlalu lama.

“Saya pernah bincang dengan Khairul Fahmi, dia beritahu KAFA sebelum ini banyak berjanji untuk bayar gajinya yang tertunggak. Bila minta pada KAFA, mereka beritahu dia jangan risau kerana jumlah tunggakan gajinya tidak banyak dan akan dibayar, sekali gus jika dapat tajaan.

“Disebabkan ada gaji dengan Melaka United, anak guam saya tidak terdesak untuk tuntut. Baru-baru ini dia tanya, apa boleh dibuat? dan saya kata perlu melalui FAM dan hantar surat penyata tuntutan kepada KAFA,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam berkata, pihaknya sedia membantu bagi penyelesaian tuntutan gaji Khairul Fahmi atau diberi jolokan ‘Apek’.

“Dalam bola sepak kena ikut proses perundangan bola sepak. Aduan perlu dikemukakan kepada Jawatankuasa Status FAM dan Jawatankuasa disiplin FAM untuk diteliti.

“Jika ada aduan kita boleh teliti, namun setakat ini saya tidak terima apa-apa laporan berkaitan daripada Khairul Fahmi,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 5:01 AM

No comments:

Post a Comment