Ad

Thursday, 19 December 2019

Red Giants bakal muncul kuasa utama Liga M

Simpan Artikel
MyMetroArena
 
Oleh Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
AWAN hitam yang menyelubungi Selangor sepanjang musim lalu dilihat kembali cerah dan skuad itu dijangka tampil lebih ampuh menjelang saingan Liga Malaysia musim depan.

Dua penggempur Red Giants, Rufino Segovia dan Wan Zack Haiqal disahkan bebas daripada kecederaan serius dan bersedia untuk kembali memperkuatkan pasukan khususnya di jentera hadapan.

Rufino yang dinobatkan selaku pemenang Kasut Emas musim 2018 mengalami kecederaan urat tumit manakala Wan Zack pula mengalami kecederaan ligamen lutut, dengan kedua-duanya terpaksa diketepikan.

Menurut pengendali pasukan, B Sathianathan, kehadiran semula dua pemain itu dapat memberi lebih pilihan dalam kesebelasan utama pasukan.

“Mereka ini sudah pulih tetapi Rufino saya akan pantau lagi sehingga bulan depan manakala Wan Zack tak ada masalah dan sedia untuk bermain.

“Kedua-duanya pemain yang bagus, tetapi mereka tetap kena bersaing dengan rakan sepasukan lain di bahagian hadapan,” katanya ketika dihubungi semalam

Selain khidmat dua pemain itu, Red Giants turut memiliki seorang lagi ayam tambatan dari Nigeria, Ifedayo Olusegun serta beberapa pemain tempatan seperti Syazwan Zainon, Sean Selvaraj dan Khyril Muhymeen.

Ditanya adakah akan lebih berhati-hati dalam membariskan pemain pada aksi pramusim bagi mengelak insiden sama seperti Wan Zack berulang, beliau mengakui tidak akan ‘menyimpan’ mana-mana pemain.

“Ya betul Wan Zack cedera sebelum Liga Malaysia bermula lagi awal tahun lalu. Tetapi perkara itu tidak merisaukan saya kerana pemain kena buktikan kemampuan mereka dalam aksi pramusim.

“Kalau pemain tak tunjukkan prestasi sebenar dalam pramusim, macam mana mereka nak dapat kecergasan dan persefahaman. Dalam bola sepak sentiasa ada risiko, kecederaan boleh datang pada bila-bila masa,” katanya.

Selangor dijadual menyertai saingan Cabaran Asia 2020 membabitkan tiga kelab rantau ini iaitu Hanoi FC (Vietnam), Bangkok United (Thailand) dan Persib Bandung (Indonesia) yang akan berlangsung pada 18-19 Januari ini di Stadium Shah Alam.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 6:00 AM

No comments:

Post a Comment