Ad

Saturday, 28 December 2019

KAFA culas bayar gaji

MyMetroUtama
 
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Tampuk pengurusan sudah bertukar, namun penyakit lama - culas membayar gaji - semakin membarah.

Itulah senario yang berlaku di dalam Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) hinggakan pemain mendakwa mereka sudah tidak menerima gaji selama hampir tiga bulan.

Situasi sama turut melanda skuad Piala Presiden Kelantan dengan tunggakan sudah mencecah lima bulan dan masih belum ada tanda-tanda perkara itu akan selesai dalam masa terdekat.

Menurut sumber, pengurusan berjanji untuk menjelaskan tunggakan gaji pemain secara berperingkat, namun hingga kini ia dilihat sukar direalisasikan.

Sumber berkata, pengurusan lama tidak melunaskan gaji April serta Mei dan masalah terbabit berlanjutan hingga sekarang.

“Pemain menjangka, peralihan kuasa sebelum ini akan memberi sinar dengan harapan mereka (pengurusan baharu) akan menyelesaikan tunggakan gaji atau membayar separuh namun hingga sekarang perkara terbabit tidak berlaku.

“Lebih buruk lagi, masalah sama terus berlaku walaupun pengurusan baharu sudah ambil alih sekali gus menyentap semangat pemain untuk beraksi,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Presiden KAFA, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah memaklumkan pihaknya akan menyelesaikan segera masalah tunggakan gaji yang ditimbulkan pemain.

Selain tunggakan gaji ke atas pemain semasa, KAFA juga berdepan tuntutan gaji empat bekas pemain mereka membabitkan nilai lebih RM300,000.

Empat pemain berkenaan ialah Mohd Daudsu Jamaluddin, Zairul Fitree Ishak, Norhafiz Zamani Misbah serta Khairul Fahmi Che Mat.

Sementara itu, Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama pengurusan tertinggi badan induk bola sepak negeri itu bagi membincangkan isu berkenaan.

“Kebanyakan tunggakan gaji dan masalah kewangan adalah berpunca daripada pengurusan terdahulu. Saya tidak boleh kata tunggakan gaji itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini namun perkara terbabit sememangnya menjadi agenda utama persatuan (membayar gaji yang tertunggak),” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 5:30 AM

No comments:

Post a Comment