MyMetroMutakhir
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my
PENGUNJUNG pantai Ban Pecah,
Kuala Kurau, Parit Buntar gempar apabila seekor buaya besar muncul di kawasan
mandi-manda pantai itu, semalam.
Buaya sepanjang lebih tiga meter
itu kelihatan berenang berhampiran pesisir pantai hingga menimbulkan keresahan
penduduk dan pengunjung pantai.
Penduduk yang hanya ingin
dikenali sebagai Sopian, 40, berkata, kehadiran buaya itu disedari penduduk
kira-kira 11 pagi semalam dan berenang menghampiri kawasan riadah di pantai
itu.
Menurutnya, kelibat buaya itu
dapat dilihat dari jalan utama dan sempat dirakam beberapa pengunjung.
“Saya sendiri melihat buaya itu
timbul kira 15 meter dari pantai dan dari pengamatan mata kasar buaya itu agak
besar dan panjang melebihi tiga meter.
“Pihak berkaitan perlu mengambil
serius perkara ini kerana ia boleh mengancam nyawa nelayan dan pengunjung yang
berkunjung ke pantai ini, ” katanya ketika ditemui.
KELIBAT buaya yang dilihat di
pantai Ban Pecah. FOTO ihsan pembaca
Sementara itu, Pengarah Jabatan
Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Yusoff Shariff
mengesahkan mendapat maklumat mengenai kemunculan reptilia di kawasan pantai
terbabit.
“Susulan maklumat diterima
beberapa pegawai PERHILITAN Perak ke lokasi berkenaan dan turut melihat buaya
terbabit.
“Kita percaya buaya itu ‘mudik’
dari Sungai Kurau hingga ke kawasan pantai susulan musim hujan dan air pasang
besar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, pihaknya hanya
bertindak memantau reptilia terbabit dan hasil pemantauan hari ini tidak
menemui reptilia berkenaan dan percaya ia akan berenang kembali ke sungai
habitat asalnya.
“Orang ramai dinasihatkan agar
tidak mandi di kawasan pantai berkenaan buat masa ini dan lebih penting nelayan
atau pemancing tidak mengganggu buaya itu kerana boleh membahayakan
keselamatan,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Selasa, 3 Disember 2019 @ 2:37 PM
No comments:
Post a Comment