Simpan Artikel
MyMetroArena
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my
SELEPAS mula membentuk skuad
baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim hadapan, Negeri
Sembilan merancang mengadakan tiga aksi persahabatan dengan pasukan Liga Super
sebagai persiapan pramusim.
Ketua jurulatih baharu pasukan
itu, Sazali Saidon, berkata tiga aksi persahabatan yang dirancangkan ialah
perlawanan dengan juara Liga Super enam kali, Johor Darul Ta`zim (JDT) pada 11
Januari ini.
Katanya, perlawanan berikutnya
ialah dengan pendatang baharu Liga Super, Sabah pada 17 Januari diikuti bertemu
Melaka United (MU) pada 23 Januari.
"Kita perlu mengadakan
persiapan pramusim dengan program terbaik dan setakat ini tiga aksi
persahabatan sudah dirancang membabitkan perlawanan dengan JDT, Sabah dan
Melaka United.
"Menerusi aksi persahabatan
dengan pasukan yang lebih berwibawa akan dapat membantu kita membentuk
kombinasi mantap antara pemain selain melihat sebarang kelemahan dalam pasukan
sebelum mengharungi cabaran liga.
"Kita perlu gunakan tempoh
pramusim yang panjang ini dengan sebaik mungkin untuk mempersiapkan
pasukan," katanya di Seremban, hari ini.
Sazali dilantik oleh Persatuan
Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) ke jawatan itu bagi menggantikan pengendali
sebelum ini, Mat Zan Mat Aris dan pemangku jawatan itu pada sebahagian musim,
Zaki Sheikh Ahmad.
Mengulas lanjut, beliau berkata
terdapat seramai 16 pemain musim lalu termasuk empat pemain import yang
dikekalkan dalam skuad berkenaan.Menurutnya, sebahagian besar daripada pemain
terbabit berusia bawah 30 tahun, sekali gus memudahkannya membentuk skuad
mantap.
"Keempat-empat pemain import
musim lalu dikekalkan berdasarkan prestasi mereka sebelum ini dan diharap
keserasian yang ada membolehkan kami tidak memerlukan masa lama untuk membentuk
gandingan mantap.
"Menjadi hasrat saya untuk
mengembalikan semula reputasi Negeri Sembilan dalam saingan liga tempatan
sepertimana yang pernah dicapai sebelum ini selain menarik ramai penyokong ke
stadium.
"Justeru, saya yakin
menerusi kombinasi pemain baharu dan senior dalam pasukan ini, sasaran membawa
Negeri Sembilan kembali ke Liga Super musim 2021, boleh direalisasikan,"
katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Selasa, 31 Disember 2019 @ 5:10 PM
No comments:
Post a Comment