MyMetroUtama
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my
PENYANYI popular era 1980-an,
Datuk Nassier Wahab meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya
(PPUM), Kuala Lumpur, jam 12.45 tengah malam tadi.
Berita itu disebarkan oleh
penyanyi, Zur Eda menerusi kiriman WhatsApp kepada rakan artis.
“Innalillahiwainnailaihirojiun.
Dukacita dimaklumkan Nassier Wahab baru sahaja menghembuskan nafasnya yang
terakhir pada jam 12.45 pagi.
“Mohon sama-sama kita sedekahkan
al-Fatihah dan kita doakan semoga roh arwah akan ditempatkan bersama roh
solehin. Al-Fatihah,” tulisnya.
Terdahulu, Nassier, 57, pernah
menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri, 1 Jun lalu.
Beliau mula mengalami masalah itu
sejak lima tahun lalu apabila mengadu sakit pada bahagian gusi.
Pembantu peribadinya, Aliff Salim
mewakili Nassier berkata, Nassier hanya akan mengambil pil penahan sakit setiap
kali diserang penyakit itu.
“Apabila makan ubat, sakit itu
akan hilang. Kadang-kadang ambil masa dua hingga tiga hari baru hilang
sakitnya.
“Apabila terlalu berterusan,
doktor memberitahu kaedah ini tidak bagus kerana boleh menjejaskan
kesihatannya,” katanya dalam satu temubual dengan Harian Metro.
Katanya, doktor menasihatkan
Nassier menjalani pembedahan tetapi dia kerap menangguhkannya.
“Selepas kali ketiga berjumpa
doktor, barulah dia setuju untuk buat pembedahan pada 1 Jun lalu,” katanya.
Menurutnya, umum memang nampak
Nassier sihat, tetapi sebenarnya dia tidak mampu menahan sakit apabila masalah
kesakitan akibat ketumbuhan itu menyerang.
“Dia ditahan di wad selama 20
hari sebelum dibenarkan keluar. Sebelum ini dia terpaksa makan menggunakan tiub
membuatkan berat badannya agak susut,” katanya.
Aliff berkata, Nassier
dinasihatkan berehat secukupnya sebelum kembali menyanyi.
“Sebelum ini Nassier memang
merahsiakan kesakitannya.
“Apabila sakit itu datang, saya
terpaksa menolak beberapa tawaran persembahan dengan memberi alasan jadualnya
padat,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Khamis, 5 Disember 2019 @ 2:20 AM
No comments:
Post a Comment