Ad

Tuesday, 31 December 2019

'Bohonglah saya tak sedih tinggalkan JDT'

Simpan Artikel
MyMetroArena
 
Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my
LANGSUNG tidak istilah kesal di hati R Gopinathan kerana menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT), walaupun jodohnya bersama kelab itu hanya bertahan semusim saja.

Malah, bekas pemain Pahang dan Selangor itu menganggap ia tetap pengalaman berharga sekali pun kelibatnya lebih kerap menghuni bangku pemain simpanan sepanjang bersama juara Liga Super dan Piala Malaysia 2017 itu.

“Bohonglah jika saya kata tidak kecewa terpaksa meninggalkan JDT selepas hanya semusim bersama pasukan itu. Apatah lagi sepanjang di sana saya lebih banyak duduk di bangku simpanan.

“Kalau boleh saya mahu terus menimba pengalaman bersama kelab itu serta cuba merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Namun, saya perlu menerima hakikat, persaingan dalam pasukan itu begitu hebat. Mungkin saya belum cukup bagus untuk bersaing dengan pemain lain.

“Memang saya kecewa tidak dapat bermain dengan lebih kerap, tetapi tidak sekali-kali menyesal menyertai JDT kerana banyak perkara positif saya dapat sejak menyertai kelab itu.

“Antaranya saya dapat berlatih dengan kemudahan yang serba lengkap serta mengutip pengalaman bersaing dengan pemain hebat,” kata Gopi.

Gopi adalah antara tiga pemain yang digugurkan oleh JDT setakat ini bagi menghadapi musim depan.Nasib sama turut menimpa Azamuddin Akil dan S Chanturu.

Pada musim 2016, Gopi bersama Selangor dan selepas semusim bersama The Red Giants, dia menyambut tawaran untuk menyarung jersi skuad Harimau Selatan.

Bagaimanapun, pemain sayap itu gagal menyerlah dan hanya tampil beraksi penuh 90 minit ketika perlawanan Piala AFC menentang kelab Myanmar, Magwe FC yang menyaksikan Gopi menjaringkan gol untuk mengikat kedudukan 1-1.

Secara keseluruhan, Gopi hanya beraksi dalam lima perlawanan, tiga dalam saingan Piala AFC serta dua dalam Liga Super dengan jumlah tempoh keseluruhan berada di dalam padang adalah 286 minit.

Mengenai hala tujunya musim depan, Gopi menyatakan masih belum ada kepastian, sekali pun mengakui telah mengadakan rundingan dengan Melaka United.

“Saya ingin menyertai pasukan yang dapat memberi peluang bermain sekerap mungkin untuk mengembalikan prestasi,” kata Gopi.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 12:57 PM

No comments:

Post a Comment