Ad

Tuesday, 2 March 2021

Aksi pemanas badan Harimau Malaya belum muktamad

MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Aksi pemanas badan skuad Harimau Malaya pada kem latihan pusat bermula 20 Mac ini masih belum dapat disahkan berikutan beberapa kekangan yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, beberapa perbincangan bersama pasukan sudah dibuat, namun pihaknya tidak dapat memuktamadkannya dalam masa terdekat ini.

"Pada masa ini tidak ada apa-apa perlawanan persahabatan yang boleh saya sahkan, perbincangan persahabatan ada, tetapi tak ada pengesahan lagi disebabkan perubahan jadual semua negara Asia.

"Juga masih kita alami isu-isu mengenai SOP (prosedur operasi standard), imigresen yang menyebabkan mungkin berlakunya kuarantin dan sekatan kepada mana-mana pasukan untuk datang ke Malaysia atau pasukan Malaysia keluar dari sini. Kita kena ambil masa sikit, tetapi panggilan latihan itu pasti," katanya.

Sebelum ini, barisan pengurusan skuad negara bercadang untuk mengadakan sekurang-kurangnya satu aksi persahabatan antarabangsa selepas setahun lebih tidak bersama berikutan wabak Covid-19.

Jelas Stuart, latihan pusat itu akan berlangsung selama sembilan hari di mana Liga Malaysia (Liga M) akan berehat seketika dalam tempoh kalendar aksi persahabatan antarabangsa hujung Mac ini.

"Pasukan kebangsaan kita akan ada kem bulan tiga, kem terbabit akan membabitkan lebih 30 pemain yang jurulatih Tan Cheng Hoe akan panggil," katanya yang mengesahkan latihan berkenaan akan dijalankan di Lembah Klang dan bukannya di Pusat Latihan JDT di Johor seperti mana yang digembar-gemburkan di media sosial.

Malaysia yang kini menghuni tangga kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sepatutnya turun beraksi menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam hujung bulan ini, serta Thailand pada Jun depan.

Bagaimanapun kempen terbabit terpaksa ditangguhkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selepas majoriti negara bertanding termasuk daripada Kumpulan G bersetuju menundanya hingga Jun ini dengan menggunakan format secara karnival di satu negara terpilih.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 8:20 PM

No comments:

Post a Comment