Rizar Mohd Noor - Mac 16, 2021 @ 1:33pm
rizar@mediaprima.com.my
Pemain JDT giat menjalani latihan di Pusat Latihan Padang Seri Gelam, Johor Bahru menjelang aksi menentang Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok. - Foto ihsan FB Johor Southern Tigers.
JOHOR BAHRU: Antara sentuhan Latin atau `DNA' Jerman, taktikal jurulatih mana yang mampu mencorak permainan ampuh bagi memburu kemenangan apabila Johor Darul Ta'zim (JDT) melayan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok?
Pertembungan dua gergasi bola sepak negara ini sememangnya dinantikan peminat bola sepak tanah air dengan skuad Harimau Selatan dibimbing Benjamin Mora manakala Karsten Neitzel kendali Selangor FC.
Bagi aksi ini, Mora bakal melakukan rombakan kecil barisan pemainnya selepas peledak sensasi, Safawi Rasid tersisih akibat cedera ketika aksi menentang UiTM FC di Shah Alam minggu lalu.
Ketiadaan pemain kebangsaan itu dijangka diisi pemain muda, Arif Aiman Mohd Hanafi yang mencuri tumpuan ketika membantu JDT menumpaskan skuad kendalian Frank Bernhardt 4-0, menerusi satu jaringan.
Selain itu pengendali kelahiran Mexico ini juga mempunyai pilihan sama ada menyenaraikan Ramadan Saifullah Usman atau Mohamadou Sumareh beraksi di posisi sayap kanan dan pastinya ia tidak merencatkan perancangan untuk meneruskan momentum kemenangan
Mora juga tampak lega dengan kualiti permainan import baharu yang dipinjamkan dari kelab Liga Brazil, Fortalez iaitu Bergson da Silva yang pantas menyesuaikan diri beraksi bersama barisan pemain lain.
Seandainya pemain itu diturunkan dalam kesebelasan utama, ia pasti ujian buat pemain kelahiran Allegrete, Brazil itu untuk membantu skuadnya memburu kemenangan keempat berturut-turut selaku penyerang utama skuad Harimau Selatan.
Posisi tengah juga menjadi tanda tanya sama ada Mora akan mengekalkan Safiq Rahim yang tampak konsisten menguasai permainan dan mampu mencorak gerakan berbahaya hingga mengundang cemas buat pasukan lawan.SUMBER-BH ONLINE
No comments:
Post a Comment