Ad

Sunday, 14 March 2021

Kelantan United menang lagi

MyMetroArena



Nor Amalina Alias

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Kelantan United Football Club (KUFC) menamatkan aksi ketiga Liga Perdana dengan kemenangan tipis 2-1 mengatasi Perak II FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, hari ini.

Sebaik wisel perlawanan bermula, pelawat dikejutkan dengan gol pendahuluan tuan rumah seawal minit pertama menerusi sepakan penyerang import, Gassama Alfussainey.

Gol pertama itu hasil hantaran lambung cantik kapten pasukan, Mohd Badhri Radzi.

Gassama tidak menunggu masa lama untuk melakukan rembatan ke gawang gol menewaskan penjaga gol Perak II, Muhammad Farhan Abdul Majid.

Perak II yang cuba bangkit bagaimanapun gagal mencari peluang menyamakan gol apabila kedudukan 1-0 kekal hingga babak pertama berakhir.

Bermula babak kedua, KUFC terus memburu kemenangan apabila gol kedua dijaringkan pemain, Mohd Amirul Shafik Che Soh pada minit ke-50.

Selang lapan minit kemudian, Perak yang mengatasi 'abang' KUFC, Kelantan FC minggu lalu bangkit dengan jaringan gol pertama pelawat menerusi Muhammad Aliff Zikri Zaini Anuar.

Namun kemenangan terus berpihak kepada KUFC sekali gus membawa senyuman kepada pengendalinya, Akira Higashiyama yang berjaya mengumpul tiga mata berharga buat kali kedua berturut-turut.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 8:46 PM

No comments:

Post a Comment