KECEDERAAN Shahrel Fikri Md. Fauzi resahkan Selangor.
Oleh ROZAIDI ZULKIFLI
1 Mac 2021, 11:42 am
PETALING JAYA: Biarpun kecewa gagal mempertahankan gelaran Raja Lembah Klang, namun pengendali Selangor FC, Karsten Neitzel tetap melihat kekalahan kepada Kuala Lumpur United FC kelmarin dari aspek positif.
Jelas jurulatih dari Jerman itu, dalam keadaan pasukan yang hanya menjalani latihan bersama dalam tempoh 12 hari dan tidak bermain dalam perlawanan sebenar dalam tempoh yang lama, situasi tersebut memberi kesukaran buat pemain.
“Sudah tentu saya berasa kecewa kerana kami mahu menang (dalam perlawanan itu) tapi ada perkembangan positif ditunjukkan oleh pemain.
“Namun kita tidak boleh lupakan perkara lain kerana banyak lagi yang kami perlu perbaiki. Kami akan manfaatkan masa yang ada lebih kurang seminggu sebelum sepak mula Liga Super.
“Perlawanan ini benar-benar membantu apabila kami menentang lawan yang bagus. Kami tidak bolos dalam tiga persahabatan dan kini kami perlu tingkatkan usaha dalam menjaringkan gol,” katanya selepas perlawanan.
Kuala Lumpur muncul juara Piala Prihatin Menteri Wilayah Persekutuan selepas menewaskan Selangor FC 4-2 pada penentuan sepakan penalti di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.Mengulas mengenai kecederaan Shahrel Fikri Md. Fauzi yang terpaksa dikeluarkan seawal minit ketujuh, Neitzel belum dapat memberi gambaran yang jelas.
AKSI menentang Kuala Lumpur digunakan oleh Selangor untuk menguji beberapa muka baharu. – IHSAN SELANGOR FC
“Shahrel mengalami kecederaan lutut tetapi sejauh mana tahap kecederaan itu masih belum dapat dipastikan buat masa ini,” ujarnya.
Sementara itu, pengendali Kuala Lumpur, Bojan Hodak mengakui masih ada kerja rumah yang perlu dilakukan sebelum sepak mula Liga Super nanti.
“Secara taktikal dan teknikal masih ada kesilapan tapi yang positifnya, kami tidak bolos. Kami memiliki peluang tetapi kami perlu baiki aspek penyudah.
“Kami juga perlu memahami dan dapatkan keserasian antara pemain baru. Secara keseluruhan tidaklah begitu teruk,” katanya.SUMBER-UM ONLINE
No comments:
Post a Comment