Ad

Sunday, 21 March 2021

Zii Jia takluk All England

Oleh Nor Azan Fitri Ahmad Hidzir

21 Mac 2021, 11:25 pm



PETALING JAYA: Lee Zii Jia akhirnya meleraikan beban yang ditanggung sebagai perseorangan lelaki No. 1 negara apabila merangkul kejuaraan besar pertamanya dalam kejohanan badminton All England sebentar tadi.

Pemain muda negara itu menumpaskan juara bertahan, bekas juara dunia dan pemain No. 2 dunia, Viktor Axelsen dari Denmark dalam aksi sengit 30-29, 20-22, 21-9 untuk muncul perseorangan lelaki Malaysia keenam menjuarai kejohanan badminton tertua di dunia.

Kemenangan di Birmingham itu membolehkan Zii Jia, 23, menamatkan penantian empat tahun Malaysia selepas kali terakhir muncul juara menerusi Datuk Lee Chong Wei pada 2017.

Kejayaan tersebut juga menebus kekalahannya dalam Jelajah Dunia Akhir di Thailand yang menyaksikan dia tewas mudah 15-21, 4-21 kepada bekas pemain No. 1 dunia itu.

Set pertama menyaksikan kedua-dua pemain saling berbalas serangan dan terikat sehingga kedudukan 29-29, namun ketangkasan Zii Jia membolehkannya meraih kemenangan 30-29.

Dalam perlawanan itu, Axelsen mengalami kecederaan ringan di lutut kirinya sehingga membuatkan pengadil menegurnya untuk mendapatkan rawatan namun pemain berusia 27 tahun itu tetap meneruskan permainannya pada set pertama.

Pada awal set kedua, Axelsen dilihat seperti bermain dalam tekanan dan kerap melakukan kesilapan mudah khususnya di bahagian jaring namun berjaya mengubah permainan dan mengikat kedudukan 8-8.

Zii Jia bagaimanapun dilihat tenang mengawal permainan dan mendahului permainan 15-14 selepas Axelsen kerap melakukan kesilapan mudah selain gagal membaca hantaran ke garisan belakang gelanggang.

Axelsen bagaimanapun bangkit untuk mengheret permainan ke set penentuan selepas menang 21-19 pada set kedua hasil kegopohan Zii Jia yang mahu segera menamatkan permainan.

Awal set ketiga menyaksikan perlawanan kembali sengit dengan masing-masing mengejar mata demi mata namun kesilapan Axelsen membolehkan Zii Jia mendahului 16-7 sebelum pemain kelahiran Alor Setar itu meneruskan kecemerlangan dengan kemenangan 21-9.

SENARAI JUARA PERSEORANGAN LELAKI All ENGLAND (MALAYSIA)

Wong Peng Soon (1951, 1952, 1955)

Eddy Choong (1953, 1954, 1956, 1957)

Tan Aik Huang (1966)

Muhammad Hafiz Hashim (2003)

Lee Chong Wei (2010, 2011, 2014, 2017)

Lee Zii Jia (2021),1

No comments:

Post a Comment