AFP
RONALDO melakukan rembatan ketika aksi menentang Luxembourg bagi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022. FOTO AFP
Paris: Cristiano Ronaldo membantu Portugal untuk mencatat kemenangan 3-1 ke atas Luxembourg dengan meledak gol pertamanya dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022.
Penyerang Juventus itu meledak gol antarabangsa buat kali ke-103 lima minit selepas rehat untuk menghalang pasukannya terus ditekan Luxembourg, yang baru-baru ini menunjukkan peningkatan.
Ronaldo sebelum ini terbabit dalam kontroversi selepas gol kemenangannya tidak dikira pada masa tambahan ketika menentang Serbia di Belgrade namun kali ini dia tidak dapat dihalang lagi selepas menampan hantaran lintang Joao Cancelo.
Luxembourg yang mengalahkan Republik Ireland sebelum ini dilihat mampu melakukan satu lagi kejutan apabila Gerson Rodrigues meletakkan pasukan tua rumah di depan menerusi tandukan selepas 30 minit perlawanan berlangsung di Stade Josy Barthel.
Diago Jota berjaya meledakkan gol penyamaan pada masa kecederaan separuh masa pertama selepas menanduk masuk hantaran lintang Pedro Neto.
Selepas Ronaldo meletakkan Portugal di depan, Joao Palhinha menambah gol ketiga untuk menyelamatkan maruah Portugal dan meletakkan mereka di tangga teratas Kumpulan A, tujuh mata mengatasi Serbia.
Ronaldo yang berusia 36 tahun sekarang ini hanya kurang enam gol untuk menyamai rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman, Ali Daei dari Iran dengan 109 gol antarabangsa.
"Gol sebelum rehat hadir pada waktu yang tidak sepatutnya. Itulah detik kebangkitan mereka kerana saya hampir masuk ke bilik persalinan dengan kedudukan mendahului 1-0.
"Selepas itu, kehebatan individu pemain mereka menyebabkan persembahan menjadi sangat berbeza," kata jurulatih Luxembourg, Luc Holtz.
Sementara itu, dua gol Aleksandar Mitrovic membolehkan Serbia mencatat kemenangan 2-1 ke atas Azerbaijan.
SUMBERDisiarkan pada: Mac 31, 2021 @ 8:45am
No comments:
Post a Comment