Ad

Saturday 6 March 2021

Pesanan Luqie buat netizen Malaysia

Oleh Zulfaizan Mansor - Mac 6, 2021 @ 4:36pm

zulfaizan@bh.com.my



Luqman harap penyokong jaga kelakuan dengan tidak berikan komen yang kurang baik.

KUALA LUMPUR: Penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin mengakui kurang senang dengan sesetengah komen yang dibuat netizen Malaysia di laman sosial kelabnya, KV Kortrijk.

Justeru, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu berharap rakyat negara ini boleh menjaga kelakuan dengan tidak memberikan komen yang kurang baik terhadap kelab itu.

Perkara itu diluahkan Luqman dalam satu video sempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang disiarkan di laman sosial dan YouTube KV Kortrijk, semalam.

"Sejujurnya saya gembira dengan penyokong (Malaysia), tapi jujur juga saya tidak suka (komen seperti itu). Saya harap penyokong Malaysia bertenang. Masa saya (beraksi) akan tiba, tiada masalah.

"Saya hanya mahu mengatakan sesuatu kepada penyokong Malaysia, saya harap apabila membuat komen di media sosial, mesti jaga kelakuan.

"Saya tahu anda menyokong saya, tapi sekarang iaitu pada Jumaat (semalam), saya (baru) berusia 19 tahun, saya ada banyak masa, saya lima tahun di sini, jadi saya ada banyak masa.

"Jurulatih juga sentiasa membantu dan menyokong saya meningkatkan prestasi, tiada masalah, saya ada masa," kata Luqman atau lebih dikenali sebagai Luqie dalam pasukannya.

Antara komen yang banyak dibuat netizen Malaysia termasuk 'di mana Luqie' dan 'kami mahu Luqie' apabila nama Luqman tiada dalam senarai skuad KV Kortrijk yang beraksi di liga Belgium.

Selain itu, Luqman turut menjelaskan bahawa dia gembira dengan kehidupan dan bermain bola sepak di Belgium.

"Sekarang ini saya tidak terpilih berada dalam skuad (utama), tapi kadang-kadang selepas latihan sebelum perlawanan, kami ada latihan individu dengan jurulatih.

"Setiap kali latihan saya memberi 100 peratus dan jika jurulatih memberi peluang untuk bermain, saya juga akan berikan 100 peratus.

"Perkara biasa bagi pemain di bahagian serangan, saya mahu mendapatkan gol. Saya hanya berharap dapat bermain dan memberikan yang terbaik. Menyumbang jaringan buat KV Kortrijk, saya mahu jaringkan gol," katanya.

SUMBER-BH ONLINE

No comments:

Post a Comment