MyMetroUtama
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tonggak naturalisasi ketiga negara, Guilherme de Paula tidak perlu menunggu lama apabila disahkan namanya turut tersenarai dalam latihan pusat skuad Harimau Malaya hujung bulan ini.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengakui nama penyerang Perak FC itu berada dalam perancangan pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe.
De Paula, 34, yang baharu menerima pengesahan sebagai pemain tempatan bulan ini adalah pemain naturalisasi ketiga selepas Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi sebelum ini.
"Oleh kerana dia dah berstatus pemain tempatan, jadi memang kita minta dan Cheng Hoe pun dah maklum perkara ini. Memang ada dalam perancangan Cheng Hoe untuk panggil dalam latihan pusat nanti bagi menilai prestasi terkini dia," kata Yusoff yang juga pengurus pasukan senior negara.
Latihan pusat yang dijangka pada 20 Mac ini adalah kem latihan pertama sejak kali terakhir anak buah Cheng Hoe dikumpulkan pada November 2019 lalu.
Kem latihan ini cukup penting sebagai persediaan aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada Jun ini dengan kemungkinan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bakal dipilih sebagai venue bagi menghabiskan kesemua baki aksi Kumpulan G di negara itu.
Sementara itu, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengumumkan tarikh perlawanan membabitkan pasukan negara di mana Malaysia menentang UAE pada 3 Jun sebelum berdepan Vietnam lapan hari kemudian.
Aksi penutup kempen kelayakan itu pula menyaksikan Harimau Malaya berdepan Thailand pada 15 Jun depan dengan venue perlawanan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Malaysia setakat ini berada di tangga kedua kumpulan dengan sembilan mata, kurang dua mata di belakang pendahulu, Vietnam.
sumber-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 7:00 AM
No comments:
Post a Comment