Ad

Friday 30 August 2013

20 Jalur Gemilang kena toreh

Ipoh: Kira-kira 2,000 penduduk Kampung Tersusun Tasek, Bercham, di sini, terkilan apabila lebih 20 Jalur Gemilang termasuk bendera terbesar milik mereka sepanjang 15 meter sengaja dirosakkan individu tidak bertanggungjawab, awal pagi semalam.
Semua bendera itu didapati dirosakkan dengan ditoreh menggunakan objek tajam disedari seorang penduduk pada jam 6.30 pagi semalam ketika dia dalam perjalanan menghantar isterinya ke tempat kerja.

Ketua kampung berkenaan, Ammad Mat Wali, 66, berkata, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memasang semua bendera itu bagi menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 dan sempena pertandingan kibar Jalur Gemilang membabitkan 10 kampung dalam mukim Tanjung Rambutan, di sini.
“Ahli JKKK kampung ini bergotong-royong memasang bendera di sekitar kawasan kampung dan persimpangan jalan, petang semalam (kelmarin) dan sehingga kira-kira jam 2 pagi tadi (semalam). Malah, anggota Rukun Tetangga yang membuat rondaan malam kelmarin mendapati semua bendera berada dalam keadaan baik.

“Bagaimanapun, seorang penduduk yang melalui kawasan tempat kami menggantung bendera besar itu jam 6.30 pagi tadi (semalam), menyedari semua bendera itu rosak akibat ditoreh,” katanya.

Berikutan itu, Ammad berkata, pihaknya membuat laporan di Balai Polis Bercham dan mereka mahu pihak berkuasa mengesan serta memberkas individu yang melakukan tindakan tidak bertanggungjawab ini.
“Hati kami amat sakit dan benar-benar terguris dengan perbuatan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian merosakkan bendera berkenaan dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu.

No comments:

Post a Comment