Ad

Friday 30 August 2013

Malaysia kempunan lagi

Pemain India meraikan kejayaan melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Asia selepas mengecewakan Malaysia 2-0 pada separuh akhir di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, semalam. - UTUSAN/Hafiz Johari
IPOH - Kecewa gagal membawa Malaysia melangkah ke final Piala Asia pertama dalam tempoh 31 tahun, jurulatih hoki kebangsaan, Paul Revington berjanji akan membantu pasukan negara mengulangi pencapaian terbaik, tempat ketiga esok.
Semalam, impian Malaysia untuk menamatkan penantian 31 tahun tanpa kejuaraan Piala Asia berkubur selepas tewas kepada India 0-2 dalam aksi separuh akhir di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh.
Malah kekalahan tersebut menyebabkan skuad kebangsaan terkilan untuk menghadiahkan gelaran Piala Asia buat penghormatan ke atas mendiang Chua Boon Huat dan hadiah ketika sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-56 hari ini.
Kekalahan tersebut juga menyebabkan Malaysia terpaksa melupakan impian untuk beraksi di pentas akhir esok menentang Korea Selatan yang meraih kemenangan 2-1 ke atas Pakistan dalam aksi separuh akhir.
"Saya sangat kecewa dengan kegagalan ini, namun saya janji akan membawa pasukan ini untuk cuba menamatkan kempen di tangga ketiga," kata Revington.
Pada perlawanan semalam Malaysia tidak berupaya mengekang asakan India terutama pada separuh masa pertama, selepas lawan mendahului minit kelapan menerusi pukulan sudut penalti yang dimanfaatkan dengan baik oleh pakarnya Volkkaliga Ramachandra Raghunath.
Bermula babak kedua, skuad kebangsaan mula mengatur serangan dengan baik dan hampir memperoleh jaringan pada minit ke-47 menerusi pukulan sudut penalti namun tolakan bola daripada Muhammad Razie Abd. Rahim tersasar sedikit dari gawang India.
Malah pada minit ke-58 Malaysia turut memperoleh peluang mendapatkan jaringan dalam kawasan D menerusi Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin tetapi gagal dimanfaatkan dengan baik.
Kelemahan benteng pertahanan negara membuka peluang buat India menambah jaringan kedua menerusi gol padang daripada Mandeep Singh pada minit ke-60.
Malaysia kini akan menentang Pakistan dalam aksi perebutan tempat ketiga, esok. Pencapaian terbaik kita adalah menghuni tangga ketiga pada 2007.
Sementara itu, kekalahan Pakistan ke atas Korea menjadi sejarah terburuk buat pasukan kedua terbaik Asia itu berikutan gagal untuk melepasi kelayakan ke Piala Dunia 2014 di Belanda.
Sejak Piala Dunia diperkenalkan pada 1971 Pakistan, pasukan paling banyak memenangi gelaran utama dunia itu dengan empat kali gelaran tidak pernah terlepas menyertainya.
Mengikut sistem baharu kelayakan Piala Dunia Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Pakistan kini tidak berpeluang menyertai kejohanan utama dunia itu.
Dalam pada itu, pada aksi klasifikasi tempat kelima hingga kelapan, semalam menyaksikan Jepun berjaya menundukkan Bangladesh dengan keputusan 3-0 .
Turut meraih kemenangan dalam aksi sama Oman yang menewaskan Taiwan menerusi pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 ketika tamat 70 minit perlawanan.
Hari ini, Jepun dijadual menentang Oman pada aksi perebutan tempat kelima dan enam manakala Bangladesh akan menentang Taiwan untuk tempat ketujuh dan lapan.


Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130831/su_01/Malaysia-kempunan-lagi#ixzz2dV1gsJdg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment