Harimau Selatan rebah digigit Red Ants
SHAH ALAM - Langkah cemerlang yang diharapkan di bawah sentuhan jurulatih baharu, Azmi Mohamad bertukar menjadi bencana buat Johor Darul Takzim (Johor DT) apabila skuad Harimau Selatan itu tunduk kepada PKNS dengan keputusan 0-2 di Stadium Shah Alam, semalam.
Penyerang antarabangsa Liberia, Patrick Wleh Ronaldinho menjadi pemusnah kira-kira 3,000 penonton Johor DT yang hadir melalui gol pada minit ke-16 dan 57 malahan Harimau Selatan terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada 30 minit terakhir permainan selepas penjaga gol, Muhd. Al-Hafiz Hamzah menerima kad merah.
Kekalahan itu pasti menambahkan lagi sengsara Johor DT yang baru sahaja kehilangan Fandi Ahmad apabila bekas jurulatih mereka itu meletakkan jawatan selaku pengurus pada dua hari lalu.
Ternyata sentuhan Azmi belum menjadi, malahan aksi Johor DT pada perlawanan semalam boleh dikategorikan sebagai tiada sentuhan pasukan juara dengan tahap permainan yang ditunjukkan oleh kebanyakan pemainnya seperti tidak bermotivasi dan kurang bersedia.
PKNS sedikit pincang di bahagian pertahanan apabila tidak dapat menurunkan Es Lizuan Zahid Amir dan terpaksa menggunakan khidmat tonggak veteran, Ahmad Azlan Zainal untuk menjadi rakan gandingan Mohd. Helmi Remeli.
Walaupun begitu, ia langsung tidak memberikan banyak masalah buat PKNS yang kelihatan lebih menyerlah sepanjang perlawanan sementara rentak Johor DT bagai serba tidak menjadi dengan dua pemain kebangsaan, Safiq Rahim dan Safee Sali sekadar memanaskan bangku simpanan.
Gol PKNS tercipta melalui satu serangan balas menarik pada minit ke-16 melalui Ronaldinho apabila percubaannya yang membias mengenai pertahanan mengelirukan Muhd. Al Hafiz Hamzah bagi meletakkan tuan rumah di hadapan.
Aksi Johor DT yang tidak bermaya pada babak pertama tanpa sebarang ancaman berbahaya yang menuju ke arah pintu gol PKNS dengan peluang terbaik diperolehi Leonel Nunez namun sepakan percumanya yang tepat ke arah pintu gol dapat ditampan oleh Mohd. Remezey Che Ros pada minit ke-39.
Langkah Harimau Selatan terus sumbang pada separuh masa kedua apabila jaringan penyamaan yang dicari gagal dijelmakan sebaliknya PKNS menggandakan kelebihan pada minit ke-57.
Berpunca daripada hantaran Mohd. Nazmi Faiz Mansor yang berjaya memintas pertahanan Johor DT, Ronaldinho bijak membaca gerakan bola yang ditujukan kepadanya sebelum mudah menewaskan Al Hafiz melalui sepakan leret.
Nasib Johor DT bagai jatuh ditimpa tangga apabila Al Hafiz dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Samsudin Ibrahim pada minit ke-61 gara-gara memegang bola di luar kotak penalti ketika cuba menahan pergerakan Ronaldinho.
Walaupun beraksi dengan kekurangan seorang pemain, Harimau Selatan tetap cuba bangkit memberikan saingan tetapi mutu disiplin anak-anak buah Abdul Rahman Ibrahim menggagalkan segala usaha Johor DT mendapatkan sekurang-kurangnya satu gol sagu hati sehingga berakhir perlawanan.
Sementara itu, di Stadium Perak dekat Ipoh, tuan rumah menewaskan juara Liga Perdana, Sarawak 2-1.
Perlawanan sebelum itu terpaksa dihentikan selama 14 minit ekoran penyokong membakar mercun dalam stadium ketika meraikan gol tuan rumah pada minit ke-63.
Sumber Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130821/su_02/Harimau-Selatan-rebah-digigit-Red-Ants#ixzz2cbSDvYwn
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment