MASIH segar lagi memori datuk kepada lapan orang cucu itu apabila diminta bercerita keadaan penduduk di Tanah Melayu sebelum ia mencapai kemerdekaan pertama pada 31 Ogos 1957.
Dibesarkan di sebuah kampung di Rompin Bahau, Gemas, Negeri Sembilan, Mejar bersara Lee Ah Pow, 76, begitu teruja menceritakan zaman kanak-kanaknya.
Anak ketiga daripada lima beradik itu memberitahu, kampung tersebut dihuni kira-kira 300 penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina dan India.
"Masa itu saya masih kecil, kami hidup bermasyarakat.
"Saya sendiri ada lima hingga enam kawan Melayu dan India dan tiga hingga empat orang sahaja kawan Cina. Tiada kawan lain lagi kerana semua orang sibuk bertani dan menoreh," katanya yang lahir pada tahun 1937.
Namun, hubungan erat yang terjalin antara kaum pada zamannya dahulu sukar dilihat pada masa kini. Generasi kini pada pandangan Ah Pow suka melakukan hal sendiri tanpa mempedulikan orang lain.
"Dahulu hidup susah. Bapa saya datang ke Tanah Melayu dengan beberapa saudaranya pada tahun 1910 dan menjadi ketua persatuan orang Cina di Rompin.
"Ketika kecil, saya melihat komunis minta wang daripada petani. Kami orang kampung mana ada apa-apa. Jika tiada wang, mereka minta makanan," ujarnya sambil memberitahu, siapa yang enggan membantu komunis akan dibunuh.
Masih terbayang-bayang di minda Ah Pow apabila melihat saudara-saudaranya semua habis dibunuh komunis dengan kejam sekali kerana mereka dituduh antikomunis.
Namun, tiada apa-apa yang boleh dilakukan olehnya dalam usia yang masih mentah iaitu dalam lingkungan usia tujuh hingga sembilan tahun.
"Sangat sedih apabila melihat penoreh getah diikat pada pokok getah, dirobek perutnya hingga terkeluar isi perut gara-gara tidak memberi bantuan makanan kepada komunis.
"Kejadian itulah yang membuatkan saya berkobar-kobar mahu menjadi tentera untuk membalas dendam di atas perbuatan kejam mereka," ceritanya penuh bersemangat.
Menurut Ah Pow, dia bernasib baik kerana ketika itu, Maktab Tentera Diraja (RMC) membuka tawaran kepada budak-budak sekolah sekali gus dapat menunaikan hasratnya untuk menjadi tentera.
Mula diterima masuk RMC pada tahun 1953, Ah Pow bertekad tidak akan mempersia-siakan peluang yang diberikan hingga berjaya menamatkan pengajian dan latihan pada tahun 1958.
Ketika Tunku Abdul Rahman mengumumkan kemerdekaan buat Tanah Melayu, Ah Pow memberitahu, hatinya gembira bukan kepalang walaupun pada ketika itu dia sibuk menguruskan tetamu kenamaan dari luar negara sempena hari bersejarah tersebut.
Terima penghargaan
"Saya bertugas sebagai pegawai protokol ketika itu di bawah Muhammad Ghazali Shafie (Menteri Dalam Negeri) yang bertanggungjawab merangka program keselamatan buat tetamu kenamaan.
"Siapa yang tidak gembira apabila Tanah Melayu mendapat kemerdekaan. Kita bebas daripada penjajah dan anasir luar yang menghuru-harakan negara," katanya yang pernah berkhidmat di Congo dan membantu pasukan pertahanan negara menghadapi konfrontasi dengan Indonesia pada tahun 1963.
Ah Pow dikurniakan Pingat Gagah Berani (PGB) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1964. Momen itu memberikan kepuasan dalam dirinya sepanjang berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Mejar bersara ini juga menerima penghargaan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berikutan jasanya sebagai ketua pasukan pengaman selain menerima Pingat Khidmat Bakti, Pingat Peringatan Malaysia dan Pingat Perkhidmatan Awam.
Dia yang bersara pada usia 38 tahun bersyukur dengan elaun yang diterima selepas mendapat pingat PGB bagi menyara sisa-sisa usianya bersama isteri tercinta, Alice Tan.
Ditanya mengenai pendapatnya terhadap anak-anak muda kini yang lebih suka menyuarakan ketidakpuasan hati melalui protes jalanan, Ah Pow memberitahu bahawa semua itu berlaku kerana mereka terlalu bebas, tidak tahu menilai sesuatu perkara dan emosional apabila bertindak.
"Apa yang mereka mahukan lagi? Saya sudah pergi banyak tempat di luar negeri dan yang paling aman ialah negara kita, Malaysia. Lihat sahaja negara Asia seperti India dan China rakyatnya susah, malah kerja pun susah.
"Generasi kini, kurang menghargai nilai kemerdekaan seperti kami dahulu kerana mereka tidak lalui kepayahan pada zaman komunis, konfrontasi dan sebagainya. Mereka tidak melalui kesusahan dan penderitaan generasi terdahulu," luahnya sedikit terkilan tetapi pada masa yang sama memuji usaha kerajaan melaksanakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Berkongsi kepayahan hidup pada zaman Jepun dan komunis, Mohamad Nor Mahmud, 75, berasal dari Kampung Penajis, Rembau, Negeri Sembilan memberitahu, makanan ruji pada ketika itu adalah ubi kayu.
Memandangkan keluarga Mohamad Nor boleh dikatakan senang pada ketika itu, beras sentiasa dalam simpanan. Namun begitu, bahan mentah tersebut tidak boleh disimpan di dalam rumah.
"Beras dan padi disimpan di dalam hutan, seperti dalam filem Sarjan Hassan kerana khuatir diketahui oleh barua-barua tentera Jepun.
"Zaman itu memang susah. Masa zaman Jepun, orang-orang Cina ramai dipancung. Kemudian selepas Jepun kalah dan British mahu ambil semula Tanah Melayu, komunis ambil kesempatan mahu memerintah selama 14 hari," katanya sambil menyifatkan tempoh 14 hari yang dahsyat.
Baginya antara komunis dengan Jepun, komunis lebih kejam. Ketika komunis berkuasa, setiap hari ada sahaja berita polis dibunuh.
Wayang pacak
Walaupun yang diseksa tidak melibatkan saudara terdekat, Mohamad Nor tekad masuk askar pada 7 Julai 1958 kerana dendam kesumatnya terhadap komunis.
Mohamad Nor yang bersara daripada Rejimen Askar Melayu DiRaja pada 6 Julai 1979 memberitahu, ketika Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan, dia bersama penduduk kampung menonton wayang pacak menyaksikan detik-detik bersejarah itu.
"Bagi saya, kemerdekaan sangat berharga. Keamanan yang ada kini tidak harus dipersiakan semata-mata kerana kepentingan pihak-pihak tertentu.
"Semangat watan, jati diri, sayangkan negara dan bangsa sudah luntur dalam diri generasi kini kerana tiada pengalaman melalui saat-saat genting, semuanya telah tersedia buat mereka," ujarnya.
Menurutnya, tidak mustahil suatu hari nanti, negara ini kembali dijajah oleh kuasa luar jika perpaduan tidak diperkukuhkan.
"Kuatkan perpaduan, hormati budaya dan agama masing-masing. Jangan sesekali sentuh perkara-perkara yang mendatangkan sensiviti hingga menggugat keharmonian kaum," pesan bapa kepada 14 cahaya mata ini.
Sumber Rujukan: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0831&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2dVDKH6qCHakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment