Ad

Saturday, 31 August 2013

Bersama pertahan kemerdekaan

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan SYUKRI SHAARI
pengarang@utusan.com.my
YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah bersama Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin serta anggota Kabinet ketika menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam. Turut serta isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman (kanan). - MINGGUAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH
KUALA LUMPUR 31 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu nilai merdeka yang dikecapi oleh semua rakyat Malaysia dipertahankan walaupun dengan jiwa raga serta nyawa sekalipun.
Dalam masa sama Perdana Menteri juga meminta semangat patriotik yang diperlihatkan dalam sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 kali ini dapat terus dihayati oleh generasi muda bagi memacu negara ke arah kejayaan.
"Saya berasa seolah-olah bulu roma saya meremang melihatkan betapa besarnya semangat patriotik yang dapat kita lihat hari ini.
"Kalau semangat ini dapat dihayati oleh generasi muda, maka kemerdekaan yang dipanjangkan kepada mereka akan dapat membawa negara ke arah kejayaan," katanya ketika berucap selepas meluangkan masa beramah mesra dengan peserta perarakan sambutan kemerdekaan di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Yang turut mengiringi beliau, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Mengulas mengenai tema sambutan kemerdekaan tahun ini iaitu Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku pula, Najib menyifatkannya sebagai sangat tepat.
"Tema ini amat tepat kerana kita dilahirkan di bumi Malaysia, membesar di bumi Malaysia, cari rezeki di bumi Malaysia dan dengan izin akan disemadikan juga di bumi Malaysia,'' jelas beliau.
Dalam pada itu, Najib turut memuji pertunjukan kemerdekaan kali ini terutamanya oleh pasukan keselamatan negara yang terlibat dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah awal tahun ini.
Beliau menyifatkannya sebagai mampu memperkasakan semangat cintakan negara dalam kalangan setiap rakyat Malaysia.
"Inilah harapan kita, harapan kesinambungan perjuangan agar semangat patriotik itu disematkan dalam setiap lubuk hati kita bahawa kita adalah warganegara yang cintakan negara," ujar beliau.


Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130901/dn_01/Bersama-pertahan-kemerdekaan#ixzz2dbnF1uYY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment