Oleh Khairuddin Mohd. Zain
DALAM ucapan penggulungan mesyuarat yang pertama, penggal yang ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-12 pada 6 Mei 2010, Ketua Menteri Pulau Pinang menyampaikan keinginan untuk melihat negeri tersebut menjadi sebuah oasis demokrasi di Malaysia.
Pautan kepada ucapan tersebut masih lagi boleh dibaca di http://limguaneng. com/index.php/2010/05/06/pulau-pinang-sebagai- oasis-demokrasi-jalur-lebar-negeri-hijau-berintegriti-dan-pendidikan-cemerlang/, yang juga merupakan blog rasmi kepada seorang pemimpin besar DAP tersebut.
Di dalam perenggan berikut ucapannya tentang roh oasis demokrasi, Ketua Menteri tersebut menerangkan: ...Kerajaan negeri telah pun dengar suara rakyat dengan menjadi negeri pertama mendirikan Dataran Pidato demi kebebasan bersuara...Sungguhpun menghadapi banyak cabaran daripada golongan ekstremis, beban tekanan daripada harapan orang ramai dan perhatian tajam" daripada Kerajaan Persekutuan, kita berhasratkan Pulau Pinang menjadi suatu oasis demokrasi".
Sayangnya, dalam ucapan yang sama, khususnya di perenggan 46 dan 47, Ketua Menteri yang sama cuba menghalalkan tindakan untuk melarang beberapa akhbar arus perdana untuk melakukan tugasan mereka di negeri tersebut.
Terbaru, menggunakan ayat yang digunakan di dalam blog rasmi yang sama, bagi mengelakkan sebarang kekeliruan: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengeluarkan nasihat, bukan larangan dan tiada tindakan akan diambil ke atas mana-mana pengendali panggung wayang di Pulau Pinang yang menayangkan filem Tanda Putera.
Oasis Demokrasi - Kompas Moral
Ketua Menteri Pulau Pinang menegaskan adalah penting untuk kerajaan negeri tersebut mengeluarkan nasihat itu. Ia merupakan usaha meletakkan kompas moral kepada sebuah filem yang dikatakan menyalahkan golongan minoriti terhadap apa sahaja masalah yang berlaku.
Kita mungkin boleh mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang pantas mengeluarkan kompas moral dari dalam poket kepimpinannya dalam isu berkait penayangan Tanda Putera ini.
Namun, kita juga boleh bertanya, di mana kompas moral Ketua Menteri yang sama, ketika Namawee mempermainkan lagu Negaraku, mempersenda azan dan pasangan Alvivi menggunakan Bak Kut Teh sebagai mengucapkan selamat berbuka puasa kepada umat Islam?
Apakah kompas moral pemimpin besar parti DAP tersebut hanya mahu dikeluarkan dalam kes-kes yang terpilih dan tidak dalam kes yang dirasakan benar dan tidak bersifat provokasi perkauman?
Penulis beranggapan, nasihat yang diberikan oleh pemimpin besar DAP dari Pulau Pinang ini mempunyai tujuan yang sangat spesifik, iaitu memastikan naskhah kreatif Tanda Putera dilihat melalui tingkap dan perspektif perkauman.
Jika pemimpin besar DAP itu mengambil sedikit masa untuk menonton filem tersebut, pastinya beliau akan tahu bahawa fokus sebenarnya adalah soal semangat setiakawan, kepimpinan dan patriotisme Tun Razak - Tun Dr. Ismail yang lebih menjadi fokus dan tumpuan.
Lim Guan Eng sepatutnya lebih bersungguh-sungguh dalam mengotakan hasrat menjadikan negeri pimpinannya sebagai oasis demokrasi yang sebenar. Sebagai oasis demokrasi, sudah barang tentu, ia tidak perlu disulam dengan nasihat yang tegas, demi menyekat kebebasan bersuara dan jalur kreativiti.
Dengan nasihat moral yang kononnya disamakan dengan nasihat perjalanan, pemimpin DAP tersebut sudah dengan sendirinya mencampak hasrat membina oasis demokrasi jauh daripada falsafah kepimpinannya. Mungkin kita boleh mengingatkan, bahawa oasis demokrasi memerlukan sesuatu yang jauh lebih matang berbanding pengwujudan sebuah Dataran Pidato yang sepi.
Luka Perkauman
Dalam memberi nasihat menonton kepada filem Tanda Putera, seorang lagi pimpinan DAP beria-ia menginginkan agar sebuah suruhanjaya diwujudkan segera untuk menyusur kembali kebenaran tragedi 13 Mei.
Seruan tersebut hanya berdasarkan review filem yang dilakukan di dalam media baru https://blog.limkitsiang.com/2013/08/27/call-on-cabinet-tomorrow-to-establish-a-royal-commission-of-inquiry-on-the-may-13-1969-racial- riots-not-to-punish-the-culprits-but-to-allow- the-country-to-heal-its-worst-racial-wounds/.
Penulis tidak fikir, kita memerlukan sebuah suruhanjaya untuk memuaskan hati pemimpin seperti ini.
Pemimpin DAP tidak perlu terlalu fobia dengan kerja kreatif sebuah filem seperti Tanda Putera. Mungkin mereka perlu mengambil contoh bagaimana pemimpin UMNO sendiri tidak fobia dengan kerja kreatif Namawee, yang ada kalanya menyentuh akar sensitiviti agama dan kaum.
Tiada nasihat diberikan kepada karya kreatif Namawee, malah berpeluang berjumpa dengan Menteri!
Pemimpin DAP perlu ada keyakinan politik dan kepercayaan moral, bahawa rakyat Malaysia sudah semakin bijaksana dalam menilai sesuatu filem karya kreatif.
Luka perkauman tidak akan mudah sembuh, apatah lagi ada pemain politik yang merasakan mereka mendapat untung dengan menggunakan isu sensitif dan menggugat perpaduan, pada setiap masa dan ketika.
Sebagai pemimpin yang boleh dianggap muda dan generasi pasca-13 Mei 1969, Ketua Menteri Pulau Pinang perlu bersikap adil dan lebih terbuka dalam menilai karya seperti Tanda Putera.
Jangan calarkan hasrat membina oasis demokrasi dengan kompas moral yang berat sebelah.
Lebih penting lagi, tidak perlu terbuai dengan kerisauan dan fobia sejarah yang melampau-lampau. Tanpa filem Tanda Putera sekalipun, kita boleh menilai sikap, amalan, pandangan dan perspektif ahli dan parti politik di Malaysia.
PENULIS ialah penganalisis sosio politik.
Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130830/re_03/Tanda-Putera-dalam-oasis-demokrasi-kompas-moral#ixzz2dSL59LBM
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment