Ad

Saturday, 31 August 2013

Bekas tentera jadi model Tugu Negara


Zainal Buyung (duduk) menceritakan detik dia menjadi model ketika memegang bendera Malaysia di Kuantan, kelmarin.
KUANTAN 31 Ogos - "Kalau anak nak tahu, sayalah yang menjadi model Tugu Negara. Saya yang pegang bendera."
Demikian kata-kata yang dilontarkan bekas tentera, Zainal Buyung, 77, yang pernah berkhidmat pada zaman penjajahan komunis sehingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan 56 tahun lalu.
Anak kelahiran Slim River, Perak itu kelihatan amat berbangga dengan jasa, pengorbanan dan sumbangannya kepada negara sambil berharap generasi muda turut menilai kembali perjuangan mereka.
"Saya menyertai Askar Melayu ketika masih muda, setahun sebelum merdeka. Ketika itu umur saya 20 tahun. Saya cukup berbangga dipilih menjadi model Tugu Negara yang dibina pada 1966.
"Memang 'orang putih' (pengukir dari Austria, Felix de Weldon) yang buat tugu tersebut tetapi saya yang terpacak berdiri berjam-jam bagi menyiapkan Tugu Peringatan Negara tersebut," katanya kepada pemberita dalam Majlis Malam Penghargaan Kerajaan Negeri Pahang Kepada Bekas Tentera dan Polis di sini semalam.
Menurut Zainal, dia sebak setiap kali terkenang sikap segelintir generasi muda yang tidak menghargai perjuangan mereka dalam membebaskan negara daripada cengkaman Jepun dan komunis.
"Mungkin mereka tidak merasai kepayahan dan pahit getir sehingga ramai rakan saya dibunuh dengan begitu kejam," katanya sambil mengalirkan air mata.
Bapa kepada tujuh anak itu pernah melalui saat getir berdepan komunis termasuk beberapa kali ditembak.
"Namun kuasa tuhan tiada siapa dapat menghalang apabila peluru tidak langsung mengenai sasaran dan akhirnya komunis berkenaan berundur," jelasnya.
Sementara itu, salah seorang anak didik Leftenan Adnan, Mohamad Yunus, 91, berkata, semangat untuk membebaskan negara dari penjajahan begitu membuak-buak walau pun nyawa menjadi taruhan.
"Saya pernah ditawan komunis, diikat dan diacukan senapang betul-betul tepat di dahi.
"Seingat saya dua kali saya ditembak tetapi peluru tersebut tidak meletup," kata anak kelahiran Kampung Karak Setia, Karak dekat sini.
Menariknya mengenai Mohamad, beliau pernah berjalan kaki selama sebulan untuk pulang ke kampung halaman di Karak dari Singapura.


Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130901/dn_06/Bekas-tentera-jadi-model-Tugu-Negara#ixzz2dboHxjQB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment