Tuah sulung Liverpool
|
LONDON, England – Daniel Sturridge membuktikan bahawa Liverpool mampu bersaing dalam perebutan trofi Liga Perdana England musim ini meskipun tanpa sentuhan penyerang kontroversi, Luis Suarez.
Sturridge, 23, menyuntik keyakinan itu selepas dia tidak mempersia-siakan peluang untuk menjaringkan gol pertama pada kempen Liga Perdana England musim ini.
Penyerang England itu membuktikan sentuhannya sangat berbisa apabila menjaringkan gol tunggal kemenangan 1-0 Liverpool ke atas Stoke City pada aksi pembukaan liga di Stadium Anfield malam tadi.
Sturridge mengawal bola dengan bijak sebelum melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Stoke, Asmir Begovic pada minit ke-31.
Jaringan Sturridge itu cukup penting buat skuad bimbingan Brendan Rodgers yang beraksi tanpa Suarez yang dikaitkan dengan perpindahan ke Arsenal.
Bagaimanapun, penjaga gol baharu skuad The Reds, Simon Mignolet dijulang sebagai wira berikutan kejayaannya menggagalkan sepakan penalti yang diambil Jonathan Walters pada minit ke-89 sebelum percubaan susulan menerusi pemain gantian Stoke, Kenwyne Jones.
Mignolet yang dibeli daripada Sunderland menandatangani kontrak selama lima tahun dengan Liverpool pada 25 Jun lalu dengan bayaran sebanyak £9 juta (RM46 juta).
Sementara itu, Suarez menyaksikan perlawanan itu di tempat duduk penonton selepas digantung perlawanan ekoran menggigit pemain pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic musim lalu.
Dia juga terpaksa menjalani latihan secara bersendirian selepas mendakwa Rodgers mengingkari perjanjian untuk menjualnya setelah Liverpool gagal melayakkan diri ke kempen Liga Juara-Juara musim ini. – Agensi
SUMBER RUJUKAN;KOSMO ONLINE
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0818&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz2cGy53tje
No comments:
Post a Comment