Ad

Saturday, 31 August 2013

Semangat patriotisme

TUANKU ABDUL HALIM memberi tabik hormat kepada Kawalan Kehormat Utama bersama Tuanku Hajah Haminah dan Najib pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-56 di Dataran Merdeka semalam diadakan dengan penuh kemeriahan, warna warni dan disemarakkan dengan semangat patriotisme tinggi dan penghargaan untuk perajurit negara.
Ribuan rakyat tempatan dan warga asing hadir seawal 7 pagi untuk menyaksikan perarakan sambutan bertemakan Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku.
Sambutan dimulakan sejurus keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah pada pukul 8 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Baginda kemudian membuat pemeriksaan Kawalan Kehormat Utama oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Sungai Besi yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat diketuai Mejar Mohamad Abdullah.
Berlainan sambutan sebelum ini, acara pembarisan dan perarakan tahun ini dikaitkan dengan tema sambutan, yang memberi penghormatan kepada pengorbanan para pejuang menentang pencerobohan di Lahad Datu, Sabah yang mempertahankan kedaulatan negara.
Berkonsepkan Patriotik, Perpaduan dan Kedaulatan Negara, perarakan tahun ini bertujuan menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara berdaulat dan rakyat sentiasa sedia mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang pencerobohan.
Seramai 15,280 peserta dari 56 kontinjen menyertai persembahan melibatkan empat segmen iaitu 'Malaysia Tanah Airku', Kesatuan Rakyat Perpaduan Sejagat, Kemakmuran Negara Kesejahteraan Bersama dan Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpah Darahku.
Segmen-segmen berkenaan melibatkan persembahan daripada 23 kontinjen kawad, 16 kumpulan pancaragam, aset dari lima badan keselamatan, lima persembahan padang termasuk Skuadron Istiadat Berkuda dan dua persembahan udara melibatkan pesawat pejuang jenis Sukhoi 30MKM, MIG 29 dan FA 18/D Hornet.
Hampir 300 aset keselamatan dari Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Penguat Kuasa Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penjara dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia turut dipamerkan.
Penghormatan juga diberi kepada Kontinjen Op Daulat yang terbabit dalam mempertahankan negara dalam insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah Mac lepas terdiri daripada 400 anggota pelbagai pangkat dari agensi-agensi penguatkuasa negara.
Turut hadir dan diberi penghormatan ialah 20 keluarga anggota keselamatan yang terkorban semasa Op Daulat.
Sementara itu, Najib ketika berucap kepada para peserta perarakan kemudiannya menyifatkan sambutan kali ini menunjukkan betapa kuatnya semangat cinta pada negara dalam kalangan warga Malaysia.


Kosmo online: http://www.kosmo.com.my/kosmo.1.9.2013

No comments:

Post a Comment