Ad

Friday 30 August 2013

Jangan hukum Irfan, ayuh gergasi bangkit

MOHD. AMRI YAHYAH
SHAH ALAM - Bintang penyerang Selangor, Mohd. Amri Yahyah menyeru rakan-rakan sepasukan agar bangkit daripada lena dan kembali memberi fokus untuk menghidupkan 'Misi 33'.
Malah, pemain senior itu juga mahu semua pihak agar tidak menuding jari kepada bekas pengendali Red Giants, Irfan Bakti Abu Salim atas apa yang berlaku kepada Selangor dalam kempen Piala Malaysia ketika ini.
Katanya, setiap pemain harus mengambil tanggungjawab atas kemerosotan prestasi yang dialami naib juara Liga Super itu, terutama selepas diaibkan 3-0 oleh pasukan Liga Perdana, Sime Darby, Selasa lalu.
''Saya melihat, kebanyakan pemain seolah-olah masih lena pada beberapa perlawanan sebelum ini dan itu menjadi punca kenapa kami kalah.
''Kebanyakan gol yang diperolehi pasukan lawan adalah berpunca daripada kesilapan kami sendiri, dan mereka (pemain Selangor) seperti masih dalam percutian yang panjang.
''Jika kami semua mampu bangkit daripada lena ini dan sedar akan kelemahan masing-masing, tidak mustahil peluang Selangor ke peringkat seterusnya masih ada, " katanya ketika ditemui sebelum sesi latihan pasukan Selangor di Padang SUK, baru-baru ini.
Irfan mengambil keputusan melepaskan jawatan selaku pengendali Selangor setelah berasa bertanggungjawab dengan apa yang berlaku apabila Red Giants gagal mengecapi sebarang kemenangan dalam saingan Piala Malaysia.
Kekalahan 3-0 kepada Sime Darby di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selasa lalu adalah perkara yang paling tidak boleh diterima oleh penyokong Merah Kuning dan mendorong Irfan berundur.
Amri yang merupakan pemain paling senior dalam skuad Red Giants berasa cukup sedih dengan pemergian Irfan ketika pasukan masih memerlukan khidmatnya namun menghormati tindakannya.
''Memang sedih dengan peletakan jawatan Irfan sebagai jurulatih tetapi kami semua kena akur dengan keputusan yang beliau ambil. Mungkin semuanya berpunca daripada kekalahan Selangor kepada Sime Darby.
''Saya sudah lama dengan Selangor dan telah melalui banyak pengalaman, jadi saya lihat situasi ini mungkin boleh membangkitkan semangat semua pemain bagi memantapkan cabaran pasukan dalam menghadapi baki saingan seterusnya.
''Misi kena diteruskan walaupun tanpa Irfan dalam tiga perlawanan ini dan saya harap semua pemain dapat memberikan komitmen sepenuhnya, kami semua akan berbincang dari hati ke hati sebelum turun berdepan Sime Darby, " katanya.


Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130831/su_05/Jangan-hukum-Irfan-ayuh-gergasi-bangkit#ixzz2dVAacaap
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment