Ad

Friday, 30 August 2013

Misi raih gelaran Piala Asia gagal


PEMAIN Malaysia, Muhammad Razie Abd. Rahim (kanan) mengekang gerakan pemain India pada aksi separuh akhir Piala Asia 2013 di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh malam tadi.


MALAYSIA terpaksa melupakan hajat menjuarai Kejohanan Hoki Piala Asia buat kali pertama selepas tewas 0-2 kepada Pakistan pada aksi separuh akhir di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh malam tadi.
Kealpaan benteng pertahanan sekali lagi memakan diri skuad kendalian Paul Revington itu apabila gagal menghalang India menjaringkan dua gol, masing-masing satu menerusi pukulan sudut penalti dan jaringan padang.
"Pemain-pemain sudah memberikan yang terbaik tetapi jelas nasib tidak memihak kepada Malaysia.
"Apa pun kita juga berjaya mencipta beberapa peluang terbaik tetapi masih gagal memanfaatkannya.
"Bagi aksi penentuan tempat ketiga/keempat menentang Pakistan Ahad ini, kami akan cuba untuk beraksi dengan lebih baik dan memperbaiki segala kelemahan yang ada," jelas Revington.
Pada aksi malam tadi, gol pertama India hadir menerusi jaringan pakar pukulan sudut penalti, V. R. Ragunath seawal minit kelapan manakala gol kedua hasil sumbangan Mandeep Singh pada minit ke-60.
Terdahulu, juara Piala Asia 2009, Korea Selatan menempah tiket ke final selepas melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas Pakistan dalam satu lagi pertembungan separuh akhir.
Kekalahan itu merupakan tamparan hebat buat Pakistan yang terpaksa melupakan impian beraksi pada kempen Piala Dunia 2014.
Kedatangan Pakistan ke Ipoh bertujuan menjuarai Piala Asia bagi menempah tiket secara automatik ke Belanda.
Ia merupakan kegagalan pertama Pakistan beraksi pada Piala Dunia sejak edisi 1971 di Barcelona, Sepanyol yang mana mereka pernah menjuarai Piala Dunia sebanyak empat kali.
Jurulatih Pakistan, Tahir Zaman menyifatkan kekalahan tersebut sebagai hari paling malang buat skuad kendaliannya.
"Kami amat kecewa kerana tidak dapat beraksi pada pusingan akhir Piala Dunia," jelas Tahir.
Biarpun belum mengesahkan kejuaraan Piala Asia kali ini, Korea Selatan terlebih dulu muncul pasukan pertama dalam 'senarai menunggu' layak beraksi pada Piala Dunia 2014 setelah Argentina menjuarai Piala Pan Amerika bulan lalu.
Pasukan kedua 'senarai menunggu' - Sepanyol pula layak setelah Jerman menjuarai Piala Eropah baru-baru ini manakala Malaysia layak ke Belanda jika Australia dan New Zealand menjuarai Piala Oceania pada Oktober depan.
Dalam perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan, Jepun berjaya menumpaskan Bangladesh 3-0.
Oman pula terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan Taiwan 4-2 menerusi penentuan pukulan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas tamat 70 minit perlawanan sebenar.
Rujukan: http://www.kosmo.com.my.31.8.13

No comments:

Post a Comment