Ad

Saturday 31 August 2013

Perarakan bawa mesej kedaulatan



KEBANGGAAN NEGARA
KERETA kebal PT-91M Pendekar turut menyertai perarakan Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 bertemakan Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam.
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan SYUKRI SHAARI
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 31 Ogos - Kira-kira 200,000 rakyat daripada pelbagai kaum dan bangsa termasuk pelancong-pelancong asing membanjiri Dataran Merdeka seawal 7.30 pagi hari ini untuk menyaksikan acara perbarisan dan Perarakan Hari Kemerdekaan Ke-56.
Kehadiran begitu ramai rakyat hari ini boleh disifatkan sebagai satu manifestasi kecintaan mereka terhadap Malaysia negara berdaulat.
Dalam pada itu, program perbarisan dan perarakan Hari Kemerdekaan kali ini dijayakan oleh 15,280 peserta dengan berkonsepkan patriotik, perpaduan serta kedaulatan negara.
Terdapat juga persembahan sokongan Khas Teres Penonton dari Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) dan Felda, selain persembahan kereta berhias dari Telekom Malaysia Bhd., Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Bank CIMB Bhd., Malayan Banking Bhd., Celcom Axiata Bhd. serta 15 buah kenderaan Proton.
Sementara itu di KUANTAN, sambutan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 1 melibatkan penyertaan 101 kontinjen. Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Di KANGAR, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan menyertai ribuan rakyat menyaksikan perarakan kenderaan pelbagai jabatan dan agensi serta NGO yang membabitkan 96 kontinjen.
Di SABAH iaitu negeri berlakunya insiden pencerobohan di Lahad Datu awal tahun ini, lebih 8,000 orang daripada 150 kontinjen menyertai perarakan kemerdekaan di pekarangan Kompleks Sukan Likas di Kota Kinabalu. Hadir sama Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.
Di SARAWAK, cuaca mendung tidak menghalang ribuan rakyat pelbagai kaum membanjiri padang Kompleks Sukan Sri Aman menyaksikan perarakan sempena Hari Kemerdekaan daripada 124 kontinjen, melibatkan 6,000 peserta.
Yang hadir sama Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu.
Di MELAKA, perarakan sambutan Hari Kemerdekaan diadakan di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir, tempat pengisytiharan tarikh kemerdekaan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra.
Yang turut hadir Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob,isteri, Toh Puan Zurina Kassim dan Ketua Menteri, Datuk Idris Haron.
Di IPOH, lebih 10,000 orang membanjiri pekarangan Dewan Bandaran bagi memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan yang dihadiri Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah; Raja Puan Besar Tuanku Zara Salim dan Menteri Besar, Datuk Seri Zambri Abdul Kadir.
Di KUALA TERENGGANU, sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dengan perarakan 145 kontinjen melibatkan 5,120 peserta yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Sri Norliza Mahmud.
Di ALOR SETAR, Hari Kemerdekaan peringkat negeri disambut meriah dengan perarakan dan perbarisan yang disertai 98 kontinjen membabitkan 3,234 peserta di Dataran Tunku di hadapan Kompleks Pekan Rabu.
Yang turut berangkat Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah dan Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir.
Di SEREMBAN, lebih 15,000 orang menyertai perarakan yang membabitkan 129 kontinjen.
Yang turut berangkat Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Di PULAU PINANG, acara perbarisan dan perarakan tahun ini diadakan di Dataran Pemuda Merdeka, Jalan Bagan Luar, Butterworth yang dihadiri kira-kira 5,000 orang. Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff dan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Di KOTA TINGGI, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut bersama-sama menyertai perarakan sejauh 500 meter dengan diiringi ketua-ketua jabatan kerajaan sebelum tiba di pekarangan Stadium Bandar Penawar kira-kira pukul 10 pagi.
Rujukan:http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130901/dn_03/Perarakan-bawa-mesej-kedaulatan#ixzz2dbkPcC8v 

No comments:

Post a Comment