Ad

Wednesday 14 August 2013

Walau tewas JDT dapat pengalaman berharga


NORSHAHRUL Idlan Talaha melepasi halangan pemain Perth Glory FC dalam perlawanan persahabatan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin semalam. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN
JOHOR BAHRU - Biarpun tewas 0-2 dalam aksi persahabatan menentang Perth Glory FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos semalam, ia memberikan pengalaman berharga kepada Johor Darul Takzim.
Menentang pasukan yang beraksi pada Liga A Australia itu, nyata mampu membakar semangat skuad Harimau Selatan dalam membuat persiapan bagi mengharungi saingan Piala Malaysia yang akan bermula pada 20 Ogos ini.
Perkara tersebut turut diakui jurulatih Johor Darul Takzim, Azmi Mohamed yang berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang nyata sudah memberikan aksi terbaik mereka.
Pada pertemuan itu, skuad bimbingan Azmi mempunyai peluang membuka tirai gol perlawanan menerusi Safee Sali, namun sepakannya dari dalam kotak penalti tidak menepati sasaran.
Separuh masa pertama menyaksikan Perth Glory FC mendominasi perlawanan dengan beberapa asakan ke gawang Johor Darul Takzim, memaksa penjaga gol Muhammad Al Hafiz Hamzah bekerja keras.
Penjaga gol tuan rumah berjaya menyelamatkan tendangan kencang Ryo Nagai minit ke-18, bagaimanapun kesilapannya menjatuhkan Ryo minit ke-34 berjaya memberikan sepakan penalti kepada pasukan pelawat.
Sepakan penalti Perth Glory FC yang dibimbing bekas pemain Johor, Alistair Edwards berjaya disempurnakan Steven McGarry dan keputusan 1-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Babak kedua menyaksikan skuad Harimau Selatan bermula garang dan hampir menyamakan kedudukan menerusi sepakan bebas Safiq Rahim minit ke-58, namun diselamatkan Daniel Vukovic.
Penjaga gol pasukan pelawat itu sekali lagi menjaga gawangnya daripada dibolosi Johor Darul Takzim menerusi sepakan percuma Leonel Nunez pada minit ke-61.
Usaha tuan rumah untuk menyamakan kedudukan gagal apabila pasukan pelawat menyumbat gol kemenangan mereka pada minit ke-90 menerusi Ndumba Makeche.
Kempen Piala Malaysia bermula 20 Ogos ini menyaksikan Johor Darul Takzim diletakkan di dalam Kumpulan B bersama Felda United, PKNS dan T-Team.

Sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130815/su_04/Walau-tewas-JDT-dapat-pengalaman-berharga#ixzz2c04dV71P © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment