KUALA LUMPUR 30 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat untuk kekal bersatu demi mempertahan kedaulatan Malaysia yang sejak puluhan tahun menjadi negara yang merdeka serta bebas daripada cengkaman penjajahan asing.
Dalam perutusan sempena Hari Kemerdekaan Ke-56 yang disambut esok, Perdana Menteri menegaskan kini bukanlah masa untuk rakyat Malaysia berpecah belah.
"Walau apa dugaan yang merintang, kita tidak boleh berputus asa, sebaliknya harus mara untuk memajukan negara berasaskan perpaduan nasional," kata Najib ketika menyampaikan perutusan itu yang disiarkan stesen televisyen tempatan malam ini.
Beliau menarik perhatian bahawa memiliki kedaulatan bermaksud rakyat Malaysia sendiri berhak sepenuhnya dalam segala urusan mentadbir, memerintah dan menentukan sendiri hala tuju negara.
"Malah, dalam menjiwai kemerdekaan dan kisah-kisah meraihnya, kita juga wajib terus memelihara dan mempertahan perkara-perkara berkaitan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam serta keistimewaan Melayu dan Bumiputera seperti mana bapa-bapa kita terdahulu telah maktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Acara perbarisan Hari Kemerdekaan tahun ini yang bertemakan Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku akan berlangsung di Dataran Merdeka di sini esok, dengan acara Ambang Merdeka 2013 menunggu detik 12 malam tanda tibanya 31 Ogos di Pusat Maritim, Putrajaya malam ini.
Najib seterusnya mengambil kesempatan untuk mengingatkan rakyat bahawa kedaulatan sebagai faktor yang menunjang Malaysia sebagai sebuah negara, tidak datang secara bergolek.
"Telah banyak keringat mengalir, telah sekian tumpahnya darah pengorbanan. Semua itu hasil perjuangan para pemimpin bersama generasi terdahulu, dan bersinambung sampai sekarang," katanya.
Justeru, Najib berkata, sambutan kemerdekaan bukanlah sekadar laungan membangkitkan semangat kerana lebih daripada itu, ia perlu disulami dengan penghayatan mendalam.
"Pengisiannyalah yang lebih utama, dan terbukti kita telah melalui episod-episod seperti perselisihan antara kaum, krisis kewangan dan kemelut politik. Syukurlah semua itu kita lalui dengan jayanya" kata Perdana Menteri.
Kata Najib, perkara utama untuk direnungkan dalam mencapai maksud ulang tahun kemerdekaan ialah sejauh mana kejayaan yang dicapai sehingga kini dalam mempersiap dan mempersembahkan sebuah Malaysia progresif untuk ditinggalkan kepada zuriat hari muka.
Menurutnya, pelbagai usaha perlu digembleng dan dibugarkan supaya generasi muda tanpa mengira latar agama, keturunan mahupun budaya menjadi celik sejarah.
Anak-anak muda, kata Perdana Menteri, perlu terus dibimbing, dipersiap dengan jati diri dan diperteguh semangat patriotisme mereka.
"Barulah Malaysia dengan rakyatnya yang berjiwa besar akan kekal berdaulat lagi merdeka dalam permaknaan sebenar," katanya. - BERNAMA
Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130831/dn_01/Bersatu-pertahan-kedaulatan#ixzz2dUvkUNQo
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment