Ad

Saturday, 31 August 2013

HINA BENDERA


Hina bendera
Di banyak negara, sebarang perbuatan menghina bendera negara dan mencabar sejarah negara, menerima hukuman keras.
Baru-baru ini, seorang lelaki rakyat Malaysia, Broderik Chin yang bekerja di Indonesia diberkas dan berdepan hukuman penjara.
Ia gara-gara menjadikan bendera Indonesia sebagai bahan gurauan. Biarpun sekadar kata-kata, pihak berkuasa Indonesia tidak berkompromi.
Lain pula di Malaysia. Tindakan menghina bendera negara makin kerap berlaku. Perbuatan menterbalikkan, mengoyak dan menconteng bendera boleh terlepas dengan sekadar meminta maaf.
Terbaharu, sekumpulan aktivis pembangkang diketuai Hishamuddin Rais mengibarkan bendera yang dinamakan Sang Saka Malaya pada sambutan Ambang Merdeka, malam semalam.
Bukan itu sahaja, beliau menghina bendera negara Jalur Gemilang sebagai jalur temberang dan menyifatkan Hari Kemerdekaan 31 Ogos sebagai hari malapetaka.
Mengapa Hishamuddin berani melakukan provokasi seperti itu dan ia bukan kali pertama beliau bersikap biadab. Jawapannya kerana pihak berkuasa kita tidak cukup tegas, kurang peduli atau mungkin kurang yakin untuk bertindak.
Pada Awang, ia akan memberikan mesej yang salah selain menjadi dorongan lebih banyak pihak dan individu menghina bendera Malaysia. Perbuatan mengibarkan bendera Sang Saka Malaya umpamanya sudah berulang kali dilakukan.
Isu ini sudah menjadi ancaman nasional tetapi ditangani dengan cara yang tidak pro aktif dan pre-emtif. Sepatutnya seawal para aktivis itu mengibarkan bendera Sang Saka Malaya, mereka terus ditahan.
Dalam pada itu, Awang tertarik dengan tindakan seorang lelaki yang merampas bendera tersebut daripada kumpulan aktivis berkenaan sambil menegaskan bahawa itu bukan bendera Malaysia.
Siapa lelaki yang cukup berani dan patriotik itu? Jika berkesempatan bertemunya, Awang akan dakap sebagai tanda hormat dan bangga kerana dia adalah wira kita.



Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130901/re_04/BISIK-BISIK-AWANG-SELAMAT#ixzz2dcFPtuJQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment