Awang naik semangat dengan ketegasan kerajaan dalam isu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dan ancaman kongsi gelap.
Dalam isu PPPM, beberapa persatuan berkaitan sekolah Cina terutama Dong Zong makin memperhebatkan tekanan ke atas Kementerian Pendidikan.
Bagaimanapun Menteri Pendidikan Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri tetap bertegas melaksanakan PPPM yang akan dilancarkan 6 September ini.
Meskipun telah terkandung jaminan dalam PPPM bahawa sekolah vernakular tidak akan dihapuskan namun Dong Zong meneruskan bantahan.
Kecurigaan Dong Zong terhadap peningkatan masa pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah vernakular, adalah keterlaluan.
Apa lagi Dong Zong mahu? Semua pihak perlu memahami dengan jelas sistem pendidikan dan Perlembagaan negara. Ingatlah Malaysia bukan Taiwan. Kepentingan nasional harus mengatasi agenda kaum. Berpeganglah kepada resam di mana bumi di pijak di situ langit dijunjung.
Awang mencadangkan jika Dong Zong terus melakukan provokasi, pendaftaran pertubuhan itu wajar dikaji semula kerana membelakangkan kepentingan negara.
Dalam isu kongsi gelap, ramai yang puji langkah berani Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang diterajui oleh Ahmad Zahid Hamidi.
Usaha memerangi kongsi gelap termasuk mendedahkan senarai 49 kongsi gelap dengan keanggotaan 40,313 orang, sudah tentu meningkatkan keyakinan rakyat.
Walaupun terdapat cakap-cakap bahawa kongsi gelap tertentu akan bertindak balas, Awang percaya pihak polis akan mampu menghadapinya.
Jangan jadikan Malaysia negara mafia. Inilah masa untuk bertindak sebelum kongsi-kongsi gelap mencorakkan negara kita.
SUMBER RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130901/re_05/BISIK-BISIK-AWANG-SELAMAT#ixzz2dcGxT6Zx
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment