Ad

Friday, 30 August 2013

Negeri Sembilan idam kejutan


Oleh SYED AHMAD ZULKARNAIN SYED ALIzulkarnain.ali@kosmo.com.my
MODIBO (kanan) bersaing dengan Nwakaeme pada saingan Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Selasa lalu.


ATAS kertas, Negeri Sembilan diramal menghadapi misi sukar apabila menentang penyandang juara, Kelantan pada aksi keempat Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.
Bagaimanapun, skuad Hoben Jang Hoben itu tidak mahu menyerah awal sebelum bertandang ke gelanggang keramat skuad The Red Warriors.
Bagi pengendali sementara Negeri Sembilan, Ridzuan Abu Shah, biarpun menyedari Kelantan sukar dijinakkan apabila beraksi di laman sendiri, namun beliau tetap percaya The Red Warriors masih mampu ditumbangkan di hadapan penyokong sendiri.
“Saya akui bermain di gelanggang lawan terutama di Kota Bharu adalah tugas yang sukar buat mana-mana pasukan tetapi kami tidak gentar dan kami akan bermain mengikut cara kami sendiri.
“Seperti yang kita ketahui, hanya satu atau dua pasukan yang pernah menang di Kota Bharu.
“Namun, apa yang penting kami akan mengekalkan corak permainan kami dan berharap ia mampu membuahkan hasil,” kata Ridzuan ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Ridzuan juga menyeru anak-anak buahnya supaya bermain bersungguh-sungguh dan memberi komitmen penuh dalam perlawanan getir itu.
“Saya yakin sekiranya semua pemain berusaha tanpa jemu kita mampu memberi saingan dan seterusnya membawa pulang mata berharga.
“Apa yang penting para pemain perlu meningkatkan lagi tahap permainan dan prestasi kerana saingan kini semakin sengit,” jelasnya.
Sebagai rekod, pertemuan antara Kelantan dan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi minggu lalu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat seri 1-1.
Mengulas mengenai persiapan pasukannya, Ridzuan memberitahu, benteng pertahanan Negeri Sembilan sedikit pincang ekoran penggantungan pemain pertahanan dari Cameroon, William Modibo selepas mengutip dua kad kuning.
“Kehilangan Modibo sudah pasti membuatkan benteng pertahanan kami sedikit goyang tetapi saya sudah mengenalpasti pemain yang mampu mengisi kekosongan itu.
“Bagaimanapun, saya tidak mahu menjadikan alasan itu menjejaskan persiapan kami kerana Kelantan juga dikhabarkan kehilangan penyerang utama mereka, Dickson Nwakaeme akibat kecederaan,” jelasnya.
Menurutnya, walaupun Kelantan kehilangan penyerang utamanya tetapi The Red Warriors masih mempunyai beberapa penyerang merbahaya yang perlu diberi perhatian oleh anak-anak buahnya.
Negeri Sembilan kini berada di tangga ketiga Kumpulan C di belakang Kelantan dan Pahang selepas mengutip empat mata daripada tiga perlawanan.


Rujukan: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0831&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz2dVOcZspS 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment