Pada masa sama wujud gerakan mahu menulis semula sejarah, Perlembagaan malah institusi raja dengan mempersoalkan perkara-perkara tersebut.
Landskap politik pasca PRU-12 berlarutan hingga kini dan digunakan oleh pihak tertentu untuk menghakis nilai-nilai yang telah diterima oleh semua kaum dalam kontrak sosial. Ini menimbulkan persoalan adakah nilai patriotisme sesetengah warga telah terhakis? Adakah ini sengaja dijadikan agenda untuk meraih keuntungan politik dengan mengorbankan nilai patriotisme?
Semalam negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke 56. Seperti biasa acara menjelang tengah malam meriah dengan sambutan penuh warna-warni, persembahan hiburan dan bunga api. Menyambut ulang tahun kemerdekaan adalah satu bentuk penghayatan warga terhadap negaranya. Tetapi lebih penting sambutan itu mesti mampu menyemarakkan nilai patriotisme, menghargai perajurit dan menangkis segala bentuk pengkhianatan. Kerana itu usaha semarakkan patriotisme perlu berterusan dan bukan sahaja menjelang ulang tahun kemerdekaan.
Di sebalik kemeriahan sambutan kemerdekaan kita tidak boleh menafikan realiti untuk mewujudkan satu penjajahan baharu dalam kalangan warga. Banyak peristiwa yang berlaku pada pasca PRU-12 membuktikan ada gerakan tersusun oleh pihak tertentu untuk memesongkan pemikiran daripada makna patriotisme yang sebenar.
Sepatutnya ini lebih diutamakan daripada memikirkan sikap sesetengah warga kota yang tidak memasang bendera di premis mereka. Kerana mahu melihat lebih banyak bendera dipasang menjelang ulang tahun kemerdekaan maka tercetuslah idea untuk mewajibkan pemasangan bendera. Lebih banyak bendera lagi bagus tetapi ini bukanlah caranya untuk kita mengukur tahap patriotisme.
Pemasangan bendera bukan perkara utama apabila kita memperkatakan tentang tahap patriotisme. Bendera adalah lambang dan yang wajar dipersoalkan kenapa ada warga yang tidak menggunakan lambang itu untuk menunjukkan semangat patriotisme mereka. Kalau dianalogikan sebagai pokok, bendera adalah bunga. Yang menjejaskan kualiti bunga adalah akar tunjangnya. Maka yang perlu diperiksa adalah akar kerana di situ bermula segalanya.
Kalau diadakan undang-undang mewajibkan pemasangan bendera, hasilnya tentulah pada tahun depan jumlah yang mengibar bendera naik mendadak. Soalnya adakah banyak bendera yang dipasang kerana takut kepada undang-undang boleh dijadikan kayu ukur patriotisme?
Kita tidak perlulah terlalu bersedih hingga ke tahap nak menangis" kerana tidak banyak warga yang memasang bendera. Sepatutnya kita berfikir mencari jalan mengatasi desakan sesetengah pihak yang jelas tidak patriotik. Pihak berkuasa mesti bertindak terhadap apa sahaja usaha untuk memesongkan pemikiran kepada makna baharu patriotisme yang mahu ditonjolkan. Ini adalah untuk kepentingan politik bukan kepentingan negara.
Persoalan
Bagaimanapun timbul persoalan apakah tindakan kepada warga yang menghina lagu Negaraku menjadi Negarakuku? Apakah tindakan terhadap pihak yang sengaja mengibarkan bendera ciptaan sendiri untuk menafikan Jalur Gemilang sebagai bendera rasmi negara pada ulang tahun kemerdekaan tahun lalu?
Mengambil tindakan terhadap perbuatan yang secara terang-terangan menghakis nilai patriotisme jauh lebih patriotik daripada mewajibkan pemasangan bendera.
Tahap patriotisme sesetengah pihak berada pada paras yang sangat kritikal. Lihatlah apabila pengganas menyerang negara ini di Lahad Datu, Sabah tidak lama dahulu, ada pihak menganggap itu sebagai sandiwara yang dilakukan oleh kerajaan. Di manakah nilai patriotisme mereka yang mahu mempolitikkan segala perkara waima perkara yang menjejaskan kedaulatan negara?
Maka kita sebagai warga yang setia kepada tanah air yang satu ini wajar menganggap tindakan itu sebagai tidak patriotik. Kalau mereka menafikannya, ini bermakna sudah ada agenda untuk memesongkan makna patriotisme yang sebenarnya.
Ahli akademik dan tokoh budaya, Profesor Dr. Zainal Kling mengakui tindak tanduk sesetengah pihak mewajarkan kita mempersoalkan tahap patriotisme mereka kepada negara ini. Katanya, walaupun sukar untuk menentukan tahap patriotisme seseorang tetapi tindakan yang ditunjukkan membolehkan kita mempersoalkan tahap patriotik mereka.
Serangan pengganas di Lahad Datu yang terbukti benar-benar berlaku dan ada perajurit yang terkorban. Apabila ada yang menganggap ini sebagai sandiwara, maka kita boleh mempersoalkan tahap patriotik mereka terhadap negara ini," tegas Dr. Zainal Kling.
Beliau melihat sudah wujud satu kecenderungan mengalih pemikiran warga seluruhnya terhadap makna patriotik yang selama ini kita fahami. Mereka berkata mereka juga patriotik tetapi secara halus maknanya sudah berbeza.
Apabila mereka menentang filem Tanda Putera mengenai dua negarawan, Tun Razak dan Tun Dr. Ismail tetapi pada masa yang sama mereka menyokong filem Cina yang menyinggung perasaan orang Melayu, saya fikir tindakan ini tidak patriotik," tegas Dr. Zainal Kling mengenai tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang yang menasihatkan" pemilik pawagam di Pulau Pinang supaya jangan menayangkan filem Tanda Putera.
Sama ada ini satu arahan atau nasihat" oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, yang jelas kelihatan daripada perbuatan ini adalah bertentangan dengan aspirasi nasional yang sewajarnya melangkaui batas politik dan kaum. Menentang sesuatu yang membawa aspirasi nasional dan menyokong sesuatu yang menjurus kepada kaum tertentu adalah tindakan tidak patriotik dalam konteks negara pelbagai kaum ini.
Dr. Zainal Kling juga mempersoalkan patriotisme kerajaan negeri Pulau Pinang yang banyak memberikan tumpuan kepada acara kebudayaan yang menjurus kepada kecinaan termasuk mengadakan majlis memperingati Sun Yat Sen yang sama sekali bertentangan dengan aspirasi nasional. Kebudayaan nasional seperti yang termaktub dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 adalah yang berteraskan kebudayaan Melayu.
Secara perlahan-lahan tindakan mengenepikan aspirasi nasional ini mengalih pemikiran warga kepada satu nilai baharu untuk tujuan kelangsungan politik pihak tertentu. Inilah sebenarnya masalah besar yang perlu ditangani selepas kuasa politik Melayu yang menjadi paksi kepada kestabilan politik negara ini sudah tidak sekukuh dahulu.
Tindakan tidak patriotik ini dicetuskan oleh fenomena global dengan dunia tanpa sempadan yang mewujudkan dua bentuk negara. Satu negara realiti yang mempunyai sempadan politik, budaya dan geografi, satu lagi negara maya yang terbentuk daripada dasar langit terbuka dalam komunikasi. Negara maya inilah yang membawa nilai-nilai yang bertentangan dengan aspirasi nasional atas nama demokrasi, keadilan sosial dan perjuangan hak asasi manusia. Pemikiran liberal negara maya ini memberi cabaran kepada nilai patriotisme yang menjadi asas kekuatan negara realiti yang dibina tanpa disempadani garis politik.
Sempena ulang tahun kemerdekaan negara, semua pihak perlu melihat secara mikro usaha-usaha pihak tertentu untukmenghakis kecintaan kepada negara. Apabila tembok kecintaan kepada negara ini dapat ditembusi, mudahlah pihak yang berkepentingan menyuntik idealisme baharu dengan menjaja liberalisme yang kononnya menjadi asas demokrasi.
Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130901/re_01/Agenda-tersirat-gugat-patriotisme#ixzz2dcDrnGLa
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment