MyMetroArena
Oleh Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
Baharu berusia 17 tahun, namun
sudah menggalas tanggungjawab sebagai pertahanan utama negara seterusnya
berjaya membantu Malaysia layak ke Sukan Olimpik 1980.
Itu penangan pemain ‘hingusan’
era 1970-an iaitu Datuk Jamal Nasir yang diberikan kepercayaan oleh jurulatih
Jalil Che Din dan M Kuppan untuk menyarung jersi skuad kebangsan walaupun
ketika itu dianggap masih mentah dan tidak berpengalaman di pentas
antarabangsa.
Percaturan itu sekali gus berjaya
menaikkan nama legenda pasukan Pahang terbabit untuk membarisi skuad elit
negara layak ke edisi Moscow, sebelum Malaysia memboikot temasya itu.
Jamal Nasir berkata, lipatan
sejarah itu membuktikan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe perlu membuka
mata dengan berani menyenaraikan pemain muda bagi memperkuatkan lagi pasukan.
Beliau berkata, pemain muda yang
ada seperti Luqman Hakim Shamsudin seharusnya diberikan peluang dan ruang untuk
beraksi bersama skuad senior tanpa perlu tunggu atau melalui tapisan hingga
skuad Harimau Malaya terus kempunan mencipta kejayaan pada perlawanan akan
datang.
“Buat apa nak tunggu dia (Luqman
Hakim) main dulu untuk skuad bawah 23 (B-23) walaupun sudah sedia maklum
kemampuannya terbukti ketika beraksi bersama pasukan bawah 18 (B-18).
“Jika mahu tunggu ketika dia
berusia 21 tahun agak merugikan kerana mungkin akan berkarat atau tiada
pengalaman di pentas antarabangsa bersama skuad senior.
“Jurulatih perlu berani tanggung
risiko kerana jika keputusan meletakkan Luqman membawa hasil yang baik kepada
pasukan negara sudah tentu ia pasti menyelesaikan masalah di posisi serangan
yang sekarang ini masih lagi tercari-cari peledak terbaik untuk negara,”
katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.
Sebelum ini, Arena Metro
melaporkan bekas pemain kebangsaan era 1970-an, Datuk M Karathu menggesa supaya
Cheng Hoe memanggil segera Luqman bagi menggantikan Norshahrul Idlan Talaha di
jentera serangan.
Gesaan beliau hadir selepas
melihat aksi hambar penyerang negara khususnya dari aspek kelajuan dan
kepantasan hingga menyebabkan setiap gerakan mudah dipatahkan pertahanan
Vietnam sekali gus tewas 0-1 dalam aksi ketiga Kumpulan G kelayakan Piala Dunia
2022/Piala Asia 2023 di Hanoi Khamis lalu.
Mengulas lanjut, Jamal Nasir
berkata, tiada istilah terlalu mentah atau kurang pengalaman hingga mendorong
barisan kejurulatihan skuad kebangsaan tidak berani menyenaraikan pemain muda
dalam skuad utama.
“Jika pemain sedia ada sudah
tidak mampu menggalas cabaran atau kurang berbisa, jurulatih perlu tukarkan
kepada yang lain termasuk senaraikan pemain muda.
“Kebanyakan pemain muda pasti
mahu membuktikan sesuatu kepada jurulatih apabila diberikan kepercayaan
seterusnya mempunyai komitmen tinggi untuk bersaing dengan pemain yang lebih
tua,” katanya.
Pemain paling muda ketika ini
yang diberikan tanggungjawab menyarung jersi skuad utama negara adalah Akhyar
Rashid apabila mula menyertai pasukan terbabit pada tahun lalu ketika berusia
19 tahun.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Selasa, 15 Oktober 2019 @ 6:00 AM
No comments:
Post a Comment