SUKAN»Bola
Sabtu, 26 Oktober 2019 | 3:46pm
Zainal (baju merah) terus diberikan mandat untuk menerajui skuad Hang Tuah pada musim depan. - NSTP/Rasul Azli Samad
Zainal Abidin kekal bimbing Melaka United
Oleh Fairuz Zaidan
sukanteam@nstp.com.my
MELAKA: Tanda tanya mengenai kedudukan pengendali Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan sama ada dikekalkan atau sebaliknya, terjawab hari ini apabila beliau terus diberikan mandat untuk menerajui skuad Hang Tuah pada musim depan.
Mengesahkan perkara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Adly Zahari, berkata Zainal turut diberi pilihan menentukan barisan pemain untuk memperkuat skuad itu pada musim depan dengan penumpuan pada ciri fizikal serta pemain muda.
“Kita akan lihat kembali potensi fizikal pemain kita sedia ada, selain memberi kebebasan kepada Zainal sebagai jurulatih untuk menentukan pemainnya.
“Sudah tentu (hasrat) kita untuk lihat potensi pemain muda untuk memberikan cabaran baharu kepada saingan musim depan,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Program Bazar Peduli Rakyat (BPR) peringkat negeri 2019 di Dataran Mat Riau, Bukit Baru, di sini, hari ini.
Ditanya sebarang sasaran Penunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan kepada Zainal untuk MU pada musim depan, Adly yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, ia masih belum ada tetapi akan ditetapkan kemudian.
“Kita juga akan lihat kepada bajet keseluruhan pasukan pada musim depan, termasuk mahu melihat potensi pemain terlebih dahulu.
“Secara keseluruhan prestasi MU musim ini masih ditahap membanggakan kerana kita berjaya memperbaiki keputusan carta liga di tangga keenam, berbanding ketujuh pada musim sebelumnya.
“Jika kita lihat, MU bermula agak cemerlang tetapi atas faktor kecederaan membuatkan prestasi pasukan sedikit terjejas,” katanya.
Mengenai tunggakan gaji, Adly berkata selain ia menjadi tanggungajawab MUSA, isu itu juga tidak lagi timbul kerana ia akan diselesaikan di peringkat pengurusan.
Zainal yang juga bekas pemain kebangsaan sebelum ini dipetik sebagai berkata, tiada sebarang perbincangan mengenai jawatan itu selepas misi MU terhenti di suku akhir Piala Malaysia, akhir bulan lalu.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Sabtu, 26 Oktober 2019 | 3:46pm
No comments:
Post a Comment