MyMetroArena
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my
AKSI longlai di Terbuka Denmark minggu ini diakui sendiri oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang menganggap pemain tidak mengambil peluang kesempatan yang diberikan.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, pemain seharusnya sedar bahawa hujung Disember akan ada penilaian yang bakal menentukan nasib pemain sama ada kekal di bawah badan induk itu atau tidak.
"Sudah tentu kami harus akui bahawa keputusan di Terbuka Denmark tidak bagus. Kita sudah menetapkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) buat mereka dan akan ada penilaian pada 31 Disember ini. Siapa yang tidak beraksi dengan baik akan dikenakan tindakan," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.
Kenny berkata, mereka sudah menjelaskan sebelum ini bahawa keputusan yang akan dibuat adalah untuk memacu prestasi badminton negara ke depan.
"Jika kita asyik fikir kesan-kesannya ia tidak akan ada perubahan. Kita akan melakukan analisis lebih mendalam apa kelebihan dan kekurangan di atas keputusan bakal dibuat nanti.
"Ia sama seperti kita mengambil ubat, ia adalah untuk merawat penyakit namun ada pula kesan sampingan. Bagaimanapun, kita masih mengambil ubat walaupun tahu akan kesan sampingannya nanti," katanya.
Kenny Goh buat penilaian pemain berdasarkan prestasi.
Kenny berkata, antara kesannya tidak akan ada pemain senior akan menjadi pembimbing kepada tonggak muda.
"Bagaimanapun, pemain senior yang dilihat membuktikan kemampuan mereka dan berbaloi kita akan kekalkan. Pemain sebenarnya harus mengambil kesempatan di atas peluang yang diberikan.
"Ada pemain yang mampu beraksi lebih baik ketika berada dalam tekanan. Bagaimanapun, hanya sebahagian saja berbuat demikian dan sekarang peluang sudah tidak banyak untuk mereka bangkit iaitu di Terbuka Perancis, China, Hong Kong dan Master Korea," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) itu juga mengakui bahawa penilaian mereka akan dilakukan secara adil.
"Sudah tentu akan ada yang gembira dan tidak gembira. Bagaimanapun, kita akan menilainya seadil mungkin," katanya.
Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terkandas di pusingan pertama dan nasib yang sama juga berlaku kepada perseorangan wanita, Soniia Cheah.
Beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terkandas di pusingan pertama selepas tewas kepada rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Bagaimanapun, perjalanan Aaron-Wooi Yik terhenti di pusingan kedua, manakala beregu wanita, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen terkeluar di pusingan pertama dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean pula tewas di pusingan kedua.
Beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tersangkut di pusingan pertama, manakala Goh Soon Huat-Shevon Lai tumpas di pusingan kedua.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 11:02 PM
No comments:
Post a Comment