SUKAN»Bola
Ahad, 27 Oktober 2019 | 4:16pm
Safawi tekad julang Piala Malaysia
SHAH ALAM: Selepas membantu Johor Darul Ta’zim (JDT)
melangkah ke final, pemain sayap kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid kini
mengidamkan untuk menjulang Piala
Malaysia apabila skuad Harimau Selatan itu turun berentap dengan juara lima
kali, Kedah pada aksi final pada 2
November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Muhammad Safawi, 22 mengakui beliau amat mengidam untuk
beraksi di pentas final setelah tidak diturunkan sewaktu JDT menewaskan Kedah
2-0 pada aksi final 2017 di Stadium Shah Alam, yang merupakan kejuaraan Piala
Malaysia pertama diraih skuad Harimau Selatan itu .
“Impian saya sudah pasti untuk membawa pulang trofi Piala
Malaysia kerana sudah lama saya menanti saat ini untuk bantu rakan sepasukan
dalam aksi final nanti.
“Apatah lagi, saya belum pernah berpeluang untuk beraksi
pada final terakhir kami dua tahun lalu dan tahun ini, saya akan melakukan yang
terbaik untuk memastikan kejuaraan menjadi milik kami sekali lagi,” katanya
ketika ditemui pemberita selepas perlawanan separuh akhir kedua menentang
Selangor di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Safawi meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol pertama
pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor di
Stadium Shah Alam, Shah Alam. - NSTP/Aizuddin Saad
Safawi meraikan kemenangan JDT bersama penyokong selepas
tamat perlawanan. - NSTP/Aizuddin Saad
Pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu menjadi wira JDT
apabila meledak jaringan hatrik ketika pasukan selatan tanah air itu melakar
kemenangan selesa 3-0 ke atas Selangor yang merupakan juara 33 kali Piala
Malaysia, sekaligus mara dengan kemenangan agregat 5-1.
Untuk rekod, JDT menang 2-1 pada aksi separuh akhir
pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 19 Okt lalu.
Mengulas lanjut, Muhammad Safawi yang menjadi nadi kejayaan
JDT dalam menjulang kejuaraan keenam berturut-turut dalam saingan Liga Super
musim ini, mengakui, kerjasama erat daripada rakan sepasukan menjadi faktor
kejayaan skuad Harimau Selatan menumbangkan Selangor di tempat lawan.
Kedah mara ke pentas final Piala Malaysia selepas
mencatat keputusan seri 8-8 secara agregat ketika berdepan juara empat kali,
Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada satu lagi aksi separuh akhir
kedua, namun layak ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan.
Kedua-dua pasukan seri 3-3 pada aksi separuh akhir
pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 19 Okt lalu. - BERNAMA
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 27 Oktober 2019 |
4:16pm
No comments:
Post a Comment