PEMAIN Harimau Malaya menjalani
latihan di Hanoi malam ini dalam persiapan menghadapi Vietnam, Khamis ini. -
Gambar FAM
Fadhilul Izmel Ishak
08 Oktober 2019 9:41 PM
HANOI 8 Okt. - Penyerang skuad
kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha tidak gentar meskipun Vietnam memiliki
pertahanan yang beraksi bersama kelab Eropah apabila kedua-dua pasukan itu
bertemu dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di
Stadium My Dinh, Khamis ini.
Norshahrul yang lebih dikenali
Mat Yo berkata dia enggan memikirkan kelebihan yang dimiliki pasukan lawan
sebaliknya mahu kekal fokus dalam misinya membantu pasukan kebangsaan mengutip
tiga mata di Hanoi.
“Memang betul mereka memiliki
pertahanan yang beraksi di Eropah dan itu mungkin boleh menjadi satu kelebihan
buat pasukan Vietnam.
“Bagaimanapun, jika barisan
pemain dapat bersatu hati dan memberikan lebih 100 peratus, mungkin kita boleh
mendapatkan keputusan positif di sini,” katanya pada sesi latihan di sini hari
ini.
Pertahanan Naga Emas, Doan Van
Hau beraksi di Eredivisie bersama Heerenveen SC dipanggil oleh pengendali
Vietnam iaitu Park Hang Seo manakala seorang lagi pemain yang berpengkalan di
Eropah iaitu penyerang, Nguyen Cong Phuong mewakili kelab Liga Belgium,
Sint-Truidense.
Dalam pada itu, penyerang Pahang,
Mat Yo berkata setiap pemain yang diturunkan terutamanya di posisi serangan
bertanggungjawab dalam misi memburu.
“Dalam setiap perlawanan, saya
sentiasa menyimpan hasrat untuk menjaringkan gol dan jika saya diturunkan pada
aksi Khamis ini, sudah pasti saya akan memberikan yang terbaik.
“Namun, sesiapa pun boleh
menjaringkan gol kerana yang penting, kita sentiasa bersatu hati. Saya percaya
pada rezeki dan saya mengharapkan semoga rezeki kita akan sentiasa mudah ketika
menentang Vietnam nanti,”katanya. SUMBER- UTUSAN ONLINE 08 Oktober 2019 9:41 PM
No comments:
Post a Comment