MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
TIADA tempat automatik buat tiga pemain yang berlatih di
Jepun, dalam skuad bawah 18 (B-18) tahun negara bagi menghadapi pusingan
Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Kemboja, pada 2
hingga 10 November ini.
Pemain berkenaan adalah Luqman Hakim Shamsudin, Sikh
Izhan Nazrel dan Ahmad Zikri Mohd Khalili
Ketua jurulatih skuad B-18, Brad Maloney berkata,
ketiga-tiga pemain itu yang tidak bersama pasukan sepanjang dua siri aksi
persahabatan menentang skuad B-18 Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai perlu
membuktikan mereka mempunyai prestasi lebih baik berbanding pemain lain yang
memperagakan aksi menarik di sana.
Dalam dua aksi pemanas badan di sana, skuad negara meraih
kemenangan 1-0 sebelum tewas 1-3 pada aksi kedua bertemu tuan rumah.
"Tak ada jaminan buat mana-mana pemain dalam pasukan
ini. Bagi saya, semua 28 pemain ada peluang untuk disenaraikan, malah ketiadaan
tiga pemain yang ke Jepun membolehkan pemain lain bersaing untuk merebut
tempat.
"Semua pemain kena bersaing untuk tempat
masing-masing sebelum saya menamakan 23 pemain untuk di bawa ke Kemboja
nanti," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini.
Brad Maloney (kanan) mengendalikan sesi latihan bersama
pemain. FOTO File NSTP
Skuad B-18 kini dalam tempoh persiapan terakhir sebelum
mengharungi peringkat kelayakan yang menawarkan tempat ke pusingan akhir kepada
juara setiap kumpulan beraksi di Uzbekistan tahun depan.
Pada saingan kelayakan itu nanti, Malaysia diletakkan
dalam Kumpulan G bersama tuan rumah Kemboja, Thailand, Brunei dan Kepulauan
Northern Mariana.
Tambah Maloney, taring skuad kendaliannya akan terus
diasah dalam dua aksi persahabatan lagi menentang Sri Lanka dan Taiwan dengan
masing-masing pada 25 dan 26 November ini.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober
2019 @ 11:22 PMsum
No comments:
Post a Comment